Syarat dapat guna gelaran pangkat selepas tamat
perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Banyak kekeliruan dan kesalahan dalam penggunaan gelaran
bersara di kalangan veteren tentera.
Sebenarnya, tidak semua veteren tentera layak menggunakan
gelaran bersara bersama pangkat semasa dalam perkhidmatan. Ada beberapa syarat
yang perlu dipatuhi sebelum boleh menggunakan pangkat bersara selepas
menamatkan perkhidmatan.
Syarat pertama untuk menggunakan pangkat selepas bersara
ialah pegawai yang berpangkat kapten dan ke atas sahaja. Pegawai menamatkan
perkhidmatan dengan pangkat leftenan muda dan leftenan tidak layak menggunakan
pangkat tersebut selepas menamatkan perkhidmatan.
Anggota lain-lain pangkat (LLP) juga tidak layak menggunakan
pangkat selepas menamatkan perkhidmatan biarpun mencapai perkhidmatan 21 tahun
dan pangkat tertinggi untuk LLP iaitu Pegawai Waren 1.
Syarat kedua ialah tempoh perkhidmatan yang diperakui adalah
sekurang-kurangnya sembilan tahun satu hari.
Syarat paling utama ialah perlu mendapat kelulusan daripada
Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk menggunakan gelaran tersebut.
Untuk mendapat kelulusan tersebut ialah perlu membuat permohonan
kepada bahagian Rekod dan Pencen untuk dimajukan atau dimasukkan dalam mesyuarat
MAT untuk menentukan sama ada lulus atau tidak permohonan penggunaan pangkat
selepas tamat perkhidmatan.
Selepas diluluskan oleh Seri Paduka YDP Agong, kelulusan ini
akan direkodkan dengan rasmi dalam BAT D 86 - Dokumen Pengakuan Perkhidmatan
ATM dan setiap veteren akan diberi satu salinan untuk simpanan peribadi.
Selepas mendapat kelulusan MAT, baru veteren dapat
menggunakan gelaran pangkat dalam tulisan rasmi atau sebutan acara rasmi.
Contoh tulisan rasmi ialah Kapten Abu bin Ali (Bersara). Perkataan
"Bersara" ditulis selepas nama bapa dan bukannya selepas pangkat
seperti kesilapan yang kerap dilakukan iaitu Kapten (Bersara) Abu bin Ali.
Secara lisan, perkataan "bersara" tidak perlu
disebut apabila menyebut nama veteren berkenaan. Contohnya, "dijemput
Kapten Ali bin Abu untuk menyampaikan ucapan", tanpa menyebut perkataan
"bersara".
Semoga kandungan ini bermanfaat kepada semua. Insya-Allah.
Catatan - Maklumat yang kemukakan ini adalah berdasarkan peraturan kira-kira 10
tahun lalu. Mungkin ada perubahan sekarang ini.

