Suria cemerlang sebagai pegawai tentera.
Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria bin Mohamad Saad, satu
nama yang gah mewarnai kepimpinan di pelbagai peringkat jawatan dan pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau dilahirkan pada 6 Februari 1975 di Batu Pahat, Johor.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Kledang sebelum
meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Adela, Kota Tinggi.
Kerjaya beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula
sebagai pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Sungai Besi pada 30
Jun 1993, Tauliah Jangka Pendek (TJP) Siri 58.
Berdasarkan kecemerlangan dan kepimpinan sepanjang berada di
MTD, beliau terpilih untuk menjalani latihan pegawai kadet di Royal Military
College (RMC) Duntroon, Canberra, Australia pada Julai 1994.
Ketika skotnya di MTD telah ditauliahkan sebagai pegawai, beliau
memilih mengambil peluang tawaran ke Australia untuk mendalami latihan
ketentera di sebuah kolej tentera yang tersenarai antara yang terbaik di dunia.
Tamat latihan di Australia, beliau ditauliahkan sebagai leftenan
muda ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 12 Disember 1995.
Sepanjang perkhidmatan, beliau telah diberi kepercayaan
untuk menggalas pelbagai portfolio penting di peringkat Tentera Darat (TD)
mahupun peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pemerintah, pegawai staf dan jurulatih.
Unit pertama beliau ialah di Batalion Keenam Belas Rejimen
Askar Melayu Diraja (16 RAMD), Kem Desa Pahlawan, Kelantan. Di 16 RAMD yang turut dikenali Batalion Harimau Pantai
Timur, beliau ditugaskan sebagai ketua platun bermula 12 Disember 1995 sehingga 14 Januari 1998
Kerjayanya dianggap mula menyinar apabila dilantik sebagai juruiring
(ADC) kepada Panglima 1 Divisyen bermula 15 Januari 1998 sehingga 31 Disember 1998. Ia satu
penghormatan besar kepada pegawai yang masih berstatus pegawai muda.
Seterusnya beliau menjadi juruiring kepada Timbalan Panglima
Tentera Darat (1 Januari 1999 - 17 September 1999) dan Juruiring kepada Ketua
Staf Markas ATM (18 September 1999 - 30 November 2000).
Seterusnya, beliau memegang jawatan Penolong Ketua Cawangan
Graduan di Kolej Tentera Darat untuk tempoh 1 Disember 2000 hingga 30 November 2002.
Bermula 1 Disember 2002 beliau menjawat jawatan Pegawai
Staf 2 Anggota di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat sehingga 5 Januari 2003.
Atas kecemerlangan yang dipamerkan, beliau telah terpilih sebagai jurulatih di
Sekolah Pegawai Kadet Waiouru, New Zealand bermula 6 Januari 2003 sehingga 20 Disember 2004 melalui program pertukaran pegawai.
Sekembalinya ke tanah air, beliau menjawat jawatan Ketua
Kompeni di 12 RAMD (Mekanize) (21 Disember 2004 - 3 Jun 2007), juruarah di
Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) (4 Jun 2007 - 31 Oktober 2010) dan
Penolong Pegawai Memerintah 12 RAMD (Mekanize) (1 November 2010 - 24 Julai
2011).
Beliau dilantik menjadi Pegawai Memerintah 19 RAMD
(Mekanize) pada 25 Julai 2011 sehingga 31 Julai 2013). Berdasarkan pengalaman
memimpin Batalion Mekanize, beliau dilantik Ketua Staf Markas Briged Keempat
(Mekanize) bermula 1 Ogos 2013 sehingga 12 September 2014).
Bermula 6 Februari 2015 sehingga 3 April 2016 beliau menjadi
Pegawai Staf Khas kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT).
Satu penghormatan yang tinggi yang diiringi tanggungjawab yang
besar di peringkat antarabangsa, beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat
Pertahanan di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) di New York bermula 4 April 2016 - 14 Oktober 2021.
Beliau kembali ke negara dan dilantik Panglima Briged
Ketujuh Infantri Ke-25 bermula 2 November 2021 sehingga 3 Februari 2025.
Seterusnya menjadi Panglima Divisyen Ketiga Infantri Ke-28 untuk tempoh bermula
4 Februari 2025 sehingga 27 Januari 2026.
Bermula 28 Januari 2026 sehingga sekarang (ketika rencana
ini ditulis) beliau secara rasmi memulakan tugas sebagai Timbalan Panglima
Tentera Darat.
Dalam memperkasakan tahap profesionalisme dan pengetahuan,
belliau telah mengikuti pelbagai kursus serta pengajian di dalam dan luar
negara. Antara kelayakan akademik utama yang diperoleh termasuklah Diploma of
Personnel Administration (1995), Diploma of Strategic Defence Studies (2009) di
Australia dan Diploma of Strategic Studies di Turkiye (2015).
Sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti dan kesetiaan
yang dicurahkan kepada negara, beliau telah dikurniakan beberapa darjah kebesaran dan pingat, antaranya adalah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT)
dan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua, Dato' Mulia
Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Dato'.
Selain itu, beliau turut dianugerahkan Pahlawan Angkatan
Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mahkota Kedah (AMK).

