Ahad, 20 Disember 2020

POKOK BUAH NAM-NAM

Pokok buah nam-nam. Itu salah satu nama merujuk kepada satu jenis pokok yang juga dikenali pokok buah katak puru. 

Pokok ini juga dikenali dengan nama pokok buah kopi anjing. Tidak cukup dengan tiga nama itu, ada lagi nama lain iaitu pokok buah hima, pokok buah namau-namu, pokok buah amphawa dan pokok buah nang-ai. Buah dihasilkan pokok berkenaan dinamakan mengikut nama pokoknya.

Khasiat buah nam-nam mujarab merawat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit buah pinggang. 

Buah nam nam terkenal dan diminati ramai kerana kelainan rasanya yang unik serta menyelerakan untuk dimakan. 

Pokok nam-nam termasuk dalam kategori tumbuhan liar atau hutan. Nama botani pokok nam-nam ialah cynometra cauliflora. Pokok nam-nam mudah ditanam atau dibiakkan melalui biji. 

Pokok nam nam mudah tersebar tumbuh apabila bijinya dicampak atau dibuang selepas isinya dimakan. Sebab itu, pokok nam-nam banyak terdapat di tepi rumah yang sebenarnya tidak ditanam, tetapi tumbuh setelah bijinya dibuang di situ.

Memandangkan pokok ini mudah ditanam dan tidak begitu besar, pokok nam nam sering dijadikan hiasan laman rumah, selain dapat menikmati buahnya. Warna daun muda yang berwarna pink menambahkan kecantikan pokok itu. 

Biarpun pokok ini mudah tumbuh, ia sesuai ditanam di kawasan tanah lembab bersaliran baik dengan sinaran matahari yang cukup untuk tumbuh subur. Buahnya yang berwarna coklat dengan permukaan yang berkerutu boleh dimakan. Rasanya masam kelat ketika muda dan akan berubah menjadi masam manis apabila masak.

Buah nam-nam bersaiz di antara lima hingga enam sentimeter. Buah yang masak dikenali dengan warnanya berubah seakan kuning dan buahnya 'kembang penuh'. Bijinya pula berbentuk leper boleh dibelah dua.  

Buah nam-nam keluar di bahagian batang, termasuk di pangkal pokok. Ada yang keluar betul-betul di atas tanah. Buahnya akan keluar di tempat sama dengan yang sebelumnya. Sebab itu, di bahagian itu akan terbentuk macam bonggol tempat keluar buah.  

Bagi pokok yang subur, buahnya keluar hingga ke dahan bahan atas, tetapi jumlahnya tidak banyak. Jadi, tidak timbul istilah panjat pokok buah nam-nam untuk mengambil buahnya, melainkan pokok itu betul-betul tinggi. 

Buah nam-nam sedap kalau makan dicicih dengan kicap dicampur dengan gula dan garam. Elok juga dimasukkan belacan dan lada cili api. Kicap juga boleh diganti dengan cuka. Tidak kisahlah cuka tiruan, cuka nipah atau cuka kelapa. Kalau tidak ada semu itu, boleh dimakan dengan garam atau makan kosong aje.

Buah nam-nam boleh juga dicampur dengan buah-buah lain untuk dijadikan rojak. Memang terangkat. 

Kajian khasiat buah nam-nam belum tersebar, biarpun dikatakan telah ada pakar pemakanan telah membuat kajian mengenainya. Namun, di kalangan masyarakat Melayu, antara khasiat buah nam-nam dikatakan mampu untuk merawat kencing manis, darah dan penyakit buah pinggang. 

Selain buahnya, pucuk dan daun nam nam juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan kesihatan. Pucuk pokok nam-nam boleh dijadikan ulam dimakan bersama nasi. Rasanya agak kelat yang menyebabkan ia sesuai untuk mengubat kencing manis dan darah tinggi. 

Daun tua pula boleh dikeringkan dan dijadikan ramuan teh. Ia dipercayai dapat merawat batu karang.

Elok kita perbanyakkan menanam pokok buah nam-nam sama ada sebagai pokok hiasan atau untuk mendapatkan buahnya. Pokok ini kini dikategorikan sebagai pokok nadir kerana jumlahnya semakin berkurangan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan