Selasa, 8 Disember 2020

SIKAP LETAK SAMPAH DI LUAR TONG

Sampah diletakkan di luar tong sampah kerap berlaku. Kalau diletakkan sampah di luar tong sampah ketika tong sampah penuh, itu memang patut atau boleh dimaafkan, walaupun undang-undang tidak membenarkan perkara itu dilakukan.

Sebenarnya tetap menjadi satu kesalahan meletakkan sampah di luar tong sampah apabila tong sampah penuh. Sampah perlu diletakkan di dalam tong sampah lain yang ada berdekatan atau di kawasan lain.

Jika meletakkan sampah di luar tong sampah ketika sampah penuh tetap dianggap satu kesalahan, tentu sekali membuang sampah di luar tong sampah ketika tong sampah kosong lebih lagi menjadi satu kesalahan.

Di kawasan jagaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, sampah boleh diletakkan di luar tong sampah yang penuh hanya pada waktu malam. Itupan mengikut masa yang ditetapkan. Bukan sepanjang malam.

Tetap menjadi satu kesalahan membuang sampah di luar tong sampah walaupun pada waktu malam jika tong sampah itu masih kosong.

Jadi, amat mendukacitakan tindakan individu yang meletakkan sampah di luar tong sampah pada waktu siang. Apa susah sangat untuk meletakkan sampah di dalam tong sampah yang sudah ada di hadapan mata.

Kita memang mengajar rakyat berfikir di luar kotak, tetapi bukannya berfikir di luar tong sampah. Tong sampah disediakan untuk diisikan sampah, bukannya menjadi tepi tong sampah untuk membuang sampah.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan