PAS memang bijak merancang strategi setiap kali hampir
dengan pilihan raya. Mencari rakan
gabungan adalah cara yang dapat meningkatkan kejayaan.
Kalau gagal boleh cari rakan yang lain pula. Bukan perlu mas
kahwin pun dan persiapan bukannya perlu sampai kena bahagi-bahagikan pusaka
apabila berpisah.
PAS pernah membentuk kerjasama dengan Parti Perikatan pada
1972, susulan peristiwa hitam 13 Mei 1969, namun kerjasama itu hanya bertahan
kira-kira lima tahun, iaitu sehingga 1977.
Pada 1999, PAS pernah menyertai Barisan Alternatif (BA)
bersama DAP dan PKR. Namun kemenangan PAS di banyak kerusi Parlimen selepas
1999 berbanding dua lagi parti blok pembangkang itu, mula menggerunkan DAP.
Ini disebabkan PAS waktu itu enggan berundur dalam
memperjuang penubuhan negara Islam, namun ditentang habis-habisan oleh pemimpin
DAP. Akhirnya, DAP memutuskan untuk meninggalkan BA pada 2001.
Kemudian, DAP kembali bersama PAS dan PKR di bawah payung
Pakatan Rakyat bagi membentuk kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU14).
Kemahuan PAS terus membawa agenda negara Islam, termasuk
gesaan menggubal RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) atau RUU
355, yang digambarkan kononnya kemahuan PAS melaksanakan hukuman hudud, mula
membimbangkan DAP.
Ketika itu, PAS juga didakwa menjalin hubungan baik dengan
UMNO bagi menjayakan agenda dibawanya, menyaksikan PAS mula terbelah kepada dua
kelompok, dengan satu kumpulan pemimpin digelar Anwarinas (kumpulan mahu
bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim).
Akhirnya pada 2015, PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP
dan Muktamar parti itu ke-63 yang bersidang di Alor Setar, Kedah sebulat suara
meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Rentetan itu, kumpulan
yang tidak bersetuju memutuskan hubungan dengan PKR, menubuhkan Parti Amanah
Negara (AMANAH).
Memasuki PRU pada 2018, PAS memimpin Gagasan Sejahtera
(GAGASAN), menggabungkan dua lagi parti politik, iaitu Parti Ikatan Bangsa
Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Ismaiah Se-Malaysia (BERJASA). Namun, ia
terlerai sendirinya selepas gagal memperoleh kemenangan banyak kerusi dalam
PRU.
Pasca PRU pada 2018, menyaksikan PAS sekali lagi membentuk
kerjasama dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional (MN), namun kerjasama itu
menemui jalan buntu selepas PN ditubuhkan dan UMNO pula memilih bergerak solo
pada PRU 2022.
Sehingga kini, kedudukan MN terus menjadi tanda tanya,
ketika kedua-dua pemimpin parti itu mula dilihat mengorak langkah menghidupkan
kembali semangat MN, di sebalik usaha UMNO tampil dengan cadangan pembentukan
kerjasama agungnya.
Usaha itu secara perlahan-lahan mula disambut kedua-dua
parti dengan 'operator' parti masing-masing terus dilihat agresif berunding,
bagi meneliti langkah kerjasama mencapai apa dihasratkan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan