Sabtu, 20 Januari 2018

TUAI PADI GUNA KETAM



Salah satu cara menuai padi secara tradisional ialah menggunakan ketam padi. Ketam itu ada macam-macam nama. Dalam dailek Kelantan dinamakan 'tamee' atau 'taman'.

Ketam padi banyak bentuk mengikut pembuat setempat. Namun, perkara asasnya ialah kayu yang pada bahagian hadapanya dilekatkan mata pisau.

Pada bahagian tengah ditebuk lubang untuk diletakkan kayu bulat sebesar ibu jari yang dijadikan tempat 'mengawal' ketam untuk memudahkan kerja semasa mengetam.

Ketam dipengang menggunakan sebelah tangan. Ia disepitkan di antara jari manis dan jari hantu.

Mata ketam akan didekatkan pada tangkai padi. Empat jari akan mencapai tangkai padi dan kemudian akan digenggam yang akan menarik tangkai padi mata ketam dan memotongnya.

Gabungan ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu memegang tangkai padi agar tidak jatuh yang kemudiannya akan 'dialih' ke tangan sebelah lagi untuk dikumpulkan.  

Ada juga cara ketika mata ketam diletakkan pada tangkai sebelum dipotong, satu tangan lagi terus memegang tangkai padi. Cara itu biasanya dilakukan oleh mereka yang masih belum mahir menggunakan ketam.

Tangkai padi yang telah dipotong itu akan dikumpul dan diikat menjadi satu 'gemar'.

Tuaian cara ini biasanya padi itu akan disimpan dengan tangkainya agar lebih tahan. Tuaian cara ini juga digunakan apabila buah padi tidak masak sekata. Mudah untuk memilih hanya tangkai yang sudah masak sahaja dipotong.