Ahad, 28 Januari 2024

PERJANJIAN PANGKOR SERAH KUASA

Perjanjian Pangkor merupakan satu perjanjian yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 antara Gabenor Negeri-negeri Selat, Andrew Clarke mewakili pihak Inggeris dengan Raja Muda Abdullah yang berkuasa di Hilir Perak bersama pembesar-pembesar yang menyokong baginda iaitu Bendahara, Temenggung, Orang Kaya Menteri, Shahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato' Sagor.
 
Perjanjian ini telah ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding, iaitu di kawasan perairan di antara Lumur dan Pulau Pangkor.
 
Perjanjian ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan pentadbiran negeri Perak. Nyata, perjanjian itu satu kesilapan yang telah dilakukan oleh Raja Abdullah dan membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri Melayu.
 
Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang berkuasa di Hulu Perak dan bersemayam di Tanjong Belanja, Parit, daripada pangkat sultan tetapi membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan memberi pencen 1,000 ringgit tiap-tiap bulan. Manakala Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.
 
Perak merupakan pengeluar bijih timah utama yang mendahului United Kingdom pada abad ke-19. Sementara Inggeris, yang pada masa itu sudah mendapat Pulau Pinang, Melak dan Singapura menganggap Perak sebagai sebuah negeri yang amat penting.
 
Tetapi, keadaan yang tidak stabil seperti Perang Larut dan dan pergaduhan antara kongsi gelap Cina mengganggu perniagaan bijih timah ketika itu.
 
Perjanjian ini berputik daripada kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah, sebagai Raja Muda, sepatutnya dilantik sebagai sultan baharu akan tetapi disebabkan baginda tidak menghadiri upacara pengebumian, Raja Bendahara Raja Ismail telah dilantik. dan ditabalkan sebagai Sultan Perak yang baharu.
 
Baginda diterima sebagai sultan yang sah kerana majlis pertabalan dilakukan mengikut mengikut istiadat pertabalan Raja-raja Melayu dan memiliki alat-alat kebesaran diraja. Baginda berkuasa dan mempunyai pengikut yang ramai di Hulu Perak.
 
Perasaan tidak puas hati mendorong Raja Abdullah meminta bantuan kepada Inggeris. Pada masa yang sama, berlaku permusuhan dua kongsi gelap Cina, Ghee Hin yang dipimpin oleh Chin Ah Yam dan Hai San yang dipimpin oleh Chung Keng Quee untuk merebut lombong bijih timah.
 
Raja Abdullah meminta pertolongan Inggeris untuk menyelesaikan dua masalah tersebut.
 
Menurut Lucy Bird (1831-1904) dalam bukunya "The Golden Chersonese and The Way Thither" (diterbitkan pada 1892 oleh G.P Putnam dan Anak-anak), Raja Abdullah meminta pertolongan rakannya di Singapura, Tan Kim Ching. Tan bersama seorang pedagang Inggeris di Singapura merangka surat kepada Gabenor Sir Andrew Clarke yang ditandatangani oleh Abdullah.
 
Di dalam surat tersebut, Abdullah menyatakan hasrat untuk meletakkan Perak di bawah naungan Inggeris. Pada 26 September 1872, Chung Keng Quee menghantar petisyen yang ditandatanganinya serta 44 orang lagi ketua orang Cina, meminta campur tangan Inggeris selepas diserang 12,000 orang Chung San.
 
Pihak Inggeris melihat perkara ini sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara dan menguasai perdagangan bijih timah. Hasilnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874.
 
Perjumpaan mesyuarat Raja Muda Abdullah, Sir Andrew Clarke dan beberapa Orang Besar Perak tanpa kehadiran Sultan Ismail dan Raja Yusuf di Pulau Pangkor, pada 20 Januari 1874 telah menghasilkan Perjanjian Pangkor dengan 14 perkara dipersetujui.
 
Perkara-perkara tersebut ialah:
- Raja Muda Abdullah diiktiraf sebagai Sultan Perak
- Raja Bendahara Ismail, yang menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.
- Segala perlantikan pegawai besar lain yang dibuat pada masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja hendaklah disahkan.
- Kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri ke atas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.
- Semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua perlantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.
- Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang pegawai British yang dinamakan Residen.Pegawai ini akan ditauliahkan ke istana Sultan, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
- Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak di bawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.
- Pembiayaan untuk Residen-Residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan menjadi tanggungjawab pertama daripada hasil Negeri Perak.
- Peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.
- Pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia di bawah nasihat Residen-residen ini.
- Persetiaan di mana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut: Dari Bukit Segari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No. 1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga kelaut, kemudiannya di sepanjang pantai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ketimur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Segari.
- Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Province Wellesley (Seberang Perai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.
- Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segara di bawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dan lain-lain. seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad.
- Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.
 
Raja Ismail tidak mengiktiraf perjanjian tersebut. Akan tetapi, Raja Abdullah telah diiktiraf Inggeris sebagai sultan dan Sir James W.W Birch menjadi Residen Inggeris yang pertama di Perak. Berikutan dengan perjanjian ini, Inggeris terlibat secara langsung dalam urusan pentadbiran negeri Melayu.
 
Campur tangan Residen Inggeris telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu, khasnya golongan istana yang berasa kuasa mereka telah hilang. Kesannya, orang Melayu Perak mula bertindak.
 
Mereka telah berpakat membunuh Birch. Pembunuhan tersebut dilakukan pada tahun 1875 di Pasir Salak. Kejadian ini mengakibatnya beberapa siri peperangan antara Melayu Perak dan Inggeris hingga tahun 1876.
 
Banyak pihak yang semuanya orang Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain. Manakala Sultan Abdullah pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles.
 
Dengan kejayaan membantutkan penentangan Melayu, Inggeris berjaya mengukuhkan kedudukannya di Perak dan kemudiannya membuka lebih banyak lombong bijih timah di Perak dan ladang-ladang getah. Perak bersama-sama Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang kemudiannya dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
 
Perjanjian Pangkor memberi kesan yang sangat mendalam kepada sejarah negara kerana akhirnya seluruh negeri-negeri Melayu di Semenanjung tunduk kepada sistem Residen British kecuali Kesultanan Johor yang kekal merdeka. Namun, akhirnya Johor terpaksa menerima Penasihat British pada tahun 1914.
 
Tanggal 20 Januari 1874 bukanlah suatu tarikh yang patut rakyat Malaysia rayakan tetapi sekurang-kurangnya diingati sebagai pedoman agar kedaulatan negara tidak tergadai lagi.
Sejak menjadi negara berdaulat pada tahun 1957, pemerintah dan rakyat Malaysia telah berjaya membina sebuah negara yang maju, progresif dan makmur.
 
Malaysia pada hari ini adalah salah satu negara yang memiliki ekonomi paling berdaya saing pada tangga ke-27 daripada lebih 190 negara pada tahun 2023.
 
Malaysia juga adalah salah sebuah negara paling aman di dunia menurut Indeks Keamanan Global di tempat ke 18 pada tahun 2022.
 
Selain itu, Kuala Lumpur muncul sebagai salah sebuah bandar raya paling dikunjungi di dunia pada tahun 2023 oleh majalah Travelness. Ini adalah tanda bahawa Malaysia bukanlah calang-calang negara.
 
Namun, di sebalik kejayaan-kejayaan yang dikecapi, para menteri yang bertanggungjawab mentadbir Malaysia terutamanya harus berhati-hati agar tragedi tergadainya negara seperti yang berlaku dalam Perjanjian Pangkor 1874 tidak terulang.
 
Para pemimpin Malaysia perlu mengambil iktibar daripada tragedi Perjanjian Pangkor yang telah menyebabkan negara tergadai dan maruah bangsa dilecehkan. 20 Januari 2024 genap menandakan 150 tahun Perjanjian Pangkor dimaterai.
 
Adakah para pemimpin dan rakyat Malaysia sanggup membenarkan kepentingan negara tergadai lagi?
 
Keterangan gambar – Gambar yang dirakam pada tahun 1875 menunjukkan pentadbir dan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Sir William Jervois (duduk tengah) merupakan Gabenar Baharu menggantikan Gabenor Clarke. Berdiri dari kiri; Dr. Anderson, Kapten Innes, Mejar F McNair, Lt. Henry Mc Callum, J.W.W. Birch, W. Knaggs (memakai suit terang), Kapten Speedy dan Frank Sweethenham. (Sumber: Akib Negara Malaysia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan