Sabtu, 13 Januari 2024

LIMA MALAM DOA TIDAK DITOLAK

 
Ada pendapat mengatakan tentang malam-malam yang jika seseorang itu berdoa, maka doanya tidak akan ditolak oleh Allah SWT iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban.
 
Sebenarnya, tentang lima malam yang didakwa doa tidak ditolak itu bukanlah hadis daripada Nabi SAW, dan tidak ada para ulama hadis yang meriwayatkannya secara bersanad kepada Nabi SAW kecuali riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (2/196) dan Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (10/408). Dan dalam sanad tersebut, terdapat Ibrahim bin Abi Yahya, dan yang lain juga ditohmah. Demikianlah al-Hafiz Ibn Hajar telah mendha’ifkannya dalam kitab al-Talkhis al-Habir.
 
Akan tetapi, para ulama ada yang meriwayatkan nas ini daripada kalam sebahagian sahabat dan tabiin. Abd al-Razzaq telah mengeluarkannya dalam al-Musannaf (4/317) secara  mauquf kepada Ibn ‘Umar. Dikeluarkan juga oleh al-Baihaqi secara mauquf daripada Abi al-Darda dalam al-Sunan al-Kubra (3/319). Pada sanad-sanad mereka juga daif.
 
Imam al-Syafii berkata: “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan, “Sesungguhnya doa dimustajabkan pada lima malam..” dan aku berpendapat, sunat dan baik setiap apa yang aku nyatakan ini pada malam-malam ini, tetapi ia bukanlah bermakna kefarduan. (Lihat al-Umm, 1/264)
 
Pendapat Imam al-Syafii ini amat berhati-hati sehingga mendatangkan dalam bentuk sighah balaghana (بلغنا) dan kalimat yuqal (يقال) dengan maksud ‘dikatakan’ sepertimana yang terdapat dalam kitab al-Umm. 
 
Walaupun  begitu, bagi sesiapa yang ingin melakukan amalan dan berdoa, maka bolehlah dia melakukannya. Begitulah juga pada malam-malam dan hari-hari yang lain. Mudah-mudahan Allah SWT memustajabkan dan mengabulkan doa kita. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan