Ahad, 18 Disember 2016

PEMIMPIN PINTAR TERAJU NEGARA

Pemimpin negara perlu dikendali oleh ahli politik yang pintar serta berkemampuan kerana beliau diamanahkan untuk menerajui sesebuah negara. 

Kejayaan untuk membangunkan martabat masyarakat bergantung kepada kemampuan pucuk kepimpinan.

Dalam era zaman yang penuh dengan cabaran ini, seseorang pemimpin perlu memahami kekuatan dan kelemahan sistem pemerintahan itu sendiri, keupayaan rakyat dan sumber negara. 

Mereka harus mengembeling kesemua lapisan rakyat untuk memajukan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Keamanan dan keselamatan merupakan perkara yang amat penting yang harus diberi tumpuan oleh pucuk kepimpinan sesebuah negara Islam. 

Untuk menjadikan sesebuah negara  yang berdiri di atas landasan  hukum-hukum Allah, pihak kerajaan seharusnya menyeru masyarakat kepada kebajikan dan mencegah daripada kemungkaran. 

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripadayang munkar, mereka adalah orang-orang yang beruntung.”

Kepimpinan negara hendaklah menjaga kebajikan masyarakat walaupun semua perkara bukan semestinya percuma. Salah satu di sini ialah mengenai kawalan harga barang.

Terdapat riwayat hadis menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak menetapkan harga syiling bagi sesuatu barang.  

Peristiwa ini berlaku apabila berlaku satu peristiwa kenaikan harga barang pada zaman Nabi SAW. Para sahabat meminta Nabi menaikkan harga barang tersebut namun ianya ditolak oleh baginda kerana bimbang akan berlaku kezaliman terhadap para peniaga dan penjual.

Apa yang berlaku di sini bukanlah satu perkara yang mesti dipatuhi sepenuhnya tetapi wujud ‘illah, sebab dan maqasid di sebaliknya. Apa yang jelas di sini kerajaan hendaklah berusaha menjaga kebajikan masyarakat. 

Al-Farabi menerusi bukunya al-Madinah al-Fadilah pernah menyebut tentang struktur pentadbiran negara Islam terbaik. 

Antara lain beliau menyebut bahawa negara terbaik menyamai struktur tubuh manusia yang sihat dan sempurna. Setiap anggota mempunyai kelebihan sendiri, iaitu berlainan fitrah dan berlainan kekuatan. 

Demikian juga, umat Islam mempunyai fitrah semulajadi yang berlainan dan bekerja mengikut kebolehan masing-masing. Mereka mestilah dipimpin oleh seorang ketua yang mulia dan dihormati di mana fungsi seorang ketua ialah memimpin rakyat dan mentadbir urusan negara dengan adilnya.  

Di sini rakyat dan ketua mestilah bekerjasama untuk menjamin sebuah negara yang maju dan bertamadun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan