Khamis, 17 Oktober 2019

Catatan dari Wad 1 Selatan HUSM.

Malam ini aku cuba menulis dan bercerita. Aku fikir bagus untuk ingatan dan pengajaran bersama.

Suatu ketika kita bergegas ke hospital.Tempat segelintir mereka yang menerima musibah dan ujian dari penciptaNYA.

Setiba di sini dan sebulan berada dalam suasana sayu.

Suasana susun atur katil dan tempat pesakit seolah susunan di perkuburan.

Di sini semuanya diuji. Pesakit dan keluarga yang mengurus serta doktor dan jururawat turut diuji. Semua mereka lalui. Susah payah dan debar resah adalah mainan setiap hari.

Di wad ini adalah persinggahan sementara. Ada yang pulang ke rumah kediaman dan ada juga tinggal beberapa hari dan pulang ke rumah abadi.

Takdir telah ditetapkan ke mana kita selepas berada di sini. Lama atau sementara terpulang kepada Yang Maha Berkuasa.

Yang datang silih berganti dengan ujian sarat terbeban pada diri. Di sini mereka mencari penawar ikhtiar agar usia dan kesihatan direstui lagi. Para perawat juga tercari-cari punca dan ingin supaya sembuh kembali.

Ada yang pulang dengan gembira sembuh ceria. Ada juga pulang terlantar merawat duka di rumah bersama keluarga. Semua ini adalah dugaan. Semua ini adalah ujian.

Pesanku kepada anak-anak yang jauh merantau dan saudara terdekat. Andai kalian tidak dapat merawat dan menjaga pesakit..Bantulah dengan berdoa.

Bila aku melihat dan bertanya cerita di sini. Ramai yang mengabai dan lupa siapa sebenar pesakit yang perlu dijaga..ayah..ibu..keluarga atau saudara.

Mereka tinggal pesakit bersendirian di atas katil kesepian. Diserah sepenuh kepada petugas doktor dan jururawat. Kesian dan simpati bila ada nasib dialami begini.

Hidup ini silih berganti. Hari ini kita bawa orang ke sini. Esok lusa kita juga akan dibawa ke sini atau terus di tempat kuburan. Tempat untuk selamanya.

Ya Allah...Berilah kesabaran dan kekuatan kepada semua keluarga yang sedang mengharungi ujian ini.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PETUGAS DAN JIRAN KATIL BERSEBELAHAN.

MAAF JIKA SEPANJANG BERADA DI SINI ADA KESILAPAN.

Cerita dari Wad 1Selatan HUSM.
Wan Azizi.

Salin dan tampal dari FB Wan Azizi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan