Isnin, 15 Februari 2021

TENTERA SIBER MELAKSANA TUGAS PROPAGANDA

Propaganda merupakan penerangan atau penyiaran bersepadu yang bertujuan mempengaruhi pendapat atau kelakuan orang ramai.

Propaganda banyak digunakan dalam politik bertujuan menyediakan maklumat untuk mempengaruhi pengundi dan rakyat keseluruhannya.

Propaganda politik digunakan untuk menaikkan imej individu mahupun parti politik, atau sebaliknya kepada pihak lawan.  

Propaganda perlu dilakukan secara tersusun dan berterusan. Perlu melibatkan skop sasaran yang meluas dan capaian yang mudah. Ia perlu berlegar-legar di mana-mana tempat ada sasaran disebarkan propaganda itu.

Pada era teknologi maklumat hari ini, propaganda banyak disebarkan melalui media sosial dan laman sesawang.  

Memandangkan dunia siber amat luas dan melibatkan pelbagai platform, maka perlu ada petugas yang bertanggungjawab untuk memuat turun kandungan secara berterusan dan bertepatan dengan sasaran.

Dalam istilah propaganda, mereka yang memuat turun kandungan berunsur propaganda dinamakan tentera siber atau cybertroopers. 

Tentera siber menyebarkan kandungan dalam bentuk berita, gambar, graf dan data untuk mempengaruhi khalayak ramai agar mempercayai propaganda yang disebarkan.

Tugasan tentera siber perlu melibatkan kerja berterusan dan melibatkan banyak petugas bagi memastikan keberkesanannya. Tidak memadai hanya dilakukan sekali sekala dan kerja seorang diri atau melibatkan kelompok yang kecil.

Maka itu, pembentukan tentera siber perlu dilakukan melibatkan semua peringkat dalam parti dari peringkat tertinggi sehinggalah akar umbi mengikut bidang kepakaran masing-masing. Perlu ada pihak yang hanya menyediakan kandungan atau bahan propganda, sedangkan di pihak lain pula menyebarkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan