Ganti ketua jurulatih Kursus Ketua Seksyen.
Satu kebiasaan tugas ambo semasa jadi tentera dahulu ialah ambil tugas atau meneruskan tugas pegawai lain.
Antara tugas tersebut ialah meneruskan tugas sebagai Ketua
Jurulatih Kursus Ketua Seksyen Berpusat bagi unit-unit di Sabah dan Sarawak.
Ada juga beberapa orang peserta dari unit di Semenanjung.
Kursus selama tiga minggu bermula Jun hingga Ogos 1995 itu anjuran
Batalion Keenam Belas Rejiman Askar Melayu Diraja (16 RAMD). Ia diadakan di Kem
Paradise, Kota Belut, Sabah.
Ketika itu, 16 RAMD berpangkalan di Kem Lok Kawi, Sabah. Sekarang,
petempatan 16 RAMD adalah di Kem Desa Pahlawan, Kelantan.
Ketua jurulatih asal adalah Mejer Samsudin bin Sulaiman. Di
pertengahan kursus, beliau dipanggil balik ke Kem Lok Kawi.
Sebagai ganti ketua jurulatih, ambo diberi notis sehari
untuk bergerak ke Kem Paradise. Notis pendek ini sudah biasa dalam amalan
tentera.
Itu tidak menjadi masalah kerana kami sentiasa bersedia
untuk melaksanakan apa sahaja tugas tidak kira masa, keadaan dan tempat.
Sampai di Kem Paradise, ambo diberi taklimat oleh Kompeni
Sarjan Mejar Jurulatih (KSMJ) Pegawai Waren II (PW II) Nik Aman bin Nik Hussin.
Dalam taklimat ini ambo dimaklumkan semua jadual dan
keperluan kursus telah diatur oleh ketua jurulatih sebelumnya. Semuanya dalam
keadaan teratur dan sedia untuk dilaksanakan.
Jadi, kehadirian ambo di situ lebih kepada memantau atau
sekadar bertanggungjawab berkaitan tugas kepegawaian untuk memastikan kurus
tersebut berjalan lancar seperti dijadualkan.
Tanggungjawab melatih dilakukan oleh KSMJ dan jurulatih
lain. Taklimat mengenai latihan yang akan dilakukan diberikan kepada ambo
beberapa hari sebelum atau pada pagi latihan oleh KSMJ.
Jika perlu, ambo akan membuat tinjauan kawasan bagi latihan di luar
kem.
Memandangkan kursus hampir kepada penghujung, kebanyakan
latihan adalah melibatkan praktikal di kawasan luar kem.
Antara latihan tersebut ialah hindar dan lari, pandu arah, meletup
M18A1 Claymore, menembak, serang hendap dan beberapa latihan lain.
Kursus berjalan lancar sehingga tamat.
Difahamkan ada perserta kurus yang mencapai kejayaan cemerlang
dalam perkhidmatan sehingga menjadi Sarjan Mejar Rejimen (SMR atau RSM) Tentera
Darat. Tahniah.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan