Rabu, 28 Julai 2021

SEJARAH NAMA JALAN MASJID PADANG BONGOR

Ini Jalan Masjid Padang Bongor. Namun ada juga yang menulis nama jalan ini sebagai Lorong Masjid Padang Bongor.

Mengikut definisi Dewan Bahasa, 'lorong' adalah jalan yang biasanya ada rumah di kiri kanannya. Ia juga merujuk kepada jalan kecil.

Manakala perkataan 'jalan' pula adalah kata nama yang bersinonim dengan jalan raya, lebih raya, laluan, lorong, jejambat, jejantas, persiaran, denai, rintisan, latisan. landasan, rua, ban.

Kalau mengikut definisi Dewan Bahasa itu boleh digunakan perkataan ‘lorong’ dan ‘jalan’.

Hanya pada kebiasaan dalam penggunaan harian, jalan merujuk kepada laluan lebih besar berbanding lorong.

Kembali kepada Lorong Masjid Padang Bongor atau Jalan Masjid Padang Bongor adalah laluan dari Jalan Pengkalan Chepa menuju ke Jalan Kadir Adabi atau dahulunya dikenali Jalan Hospital.

Tetapi, tidak keseluruhan laluan itu dipanggil Jalan Masjid Padang Bongor. Hanya separuh sahaja, tetapi tidak pasti di mana tempat berakhir nama Jalan Masjid Padang Bongor sebelum ‘diambil’ oleh Lorong Masjid Takwa dan Lorong Sekolah Islah.

Jalan tersebut mula ditar pada tahun 1979 atau 1980 setelah beberapa tahun Kelantan diperintah BN.

Nama Jalan Masjid Padang Bongor bermula sekitar tahun 1980 apabila ia mula digunakan sebagai alamat surat menyurat.

Dinamakan Jalan Masjid Padang Bongor kerana dilaluan tersebut terdapat Masjid Mukim Padang Bongor.

Alamat pertama menggunakan ‘Jalan Masjid Padang Bongor’ ialah 4320, Jalan Masjid Padang Bongor, 15400 Kota Bharu. Ia mula digunakan pada tahun 1980.

Sebelum itu alamat kediaman yang berada di sepanjang jalan tersebut ialah peti surat atau nombor diikuti dengan Batu 2, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Malah kawasan itu lebih dikenali Kampung Batu 2 Jalan Pengkalan Chepa di kalangan penduduk setempat.

Nama lain yang pernah digunakan untuk merujuk kepada nama jalan itu ialah ‘Lorong Gok Tebakau’ (Lorong Rumah Asap Tembakau) kerana di jalan itu ada satu 'gok' tembakau yang agak popular juga pada masa dahulu.

Memandangkan alamat 4320, Jalan Masjid Padang Bongor baharu digunakan, banyak surat ketika itu dihantar ke Kampung Padang Bongor, Binjai, sebelum dihantar kembali di alamat sebenar.

Sejarah nombor 4320 bukan nombor lot tanah. Tetapi ialah adalah satu nombor pendaftaran kereta yang tercabut dan ditemui di tempat pembuangan sampah Majlis Perbandaran Kota Bharu di Kampung Beris Jambu Panji.

Tidak pasti pula abjad di hadapan 4320 itu. Sama ada DA, DB, DD, DE, DF, DG, DH atau DJ. Ia tidak DK dan ke atas kerana pada tahun itu hanya baru masuk plat DJ. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan