Dilucutkan jawatan ketika masih
mampu berkhidmat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan tentu sekali
mendatangkan rasa tidak puashati individu dipecat dan penyokong atau orang yang
simpati dengannya.
Namun, perkara ini tidak berlaku
kepada Khalid al-Walid yang dipecat sebagai Panglima tentera oleh Saidina Umar
al-Khattab. Jawatan itu diganti dengan Abu Ubaidah. Dia tidak kecewa
dengan tindakan Umar.
Khalid tidak kecewa dengan tindakan
Umar kerana beliau meyakini bahawa beliau pergi berperang bukan untuk habuan
dunia, tetapi untuk habuan akhirat.
Ketaatan Khalid terhadap khalifah
adalah wajib dalam Islam selagi mana ia berlandaskan syariat Islam. Langsung
tiada kepentingan dalam kedua-dua individu mulia di atas, Umar dan Khalid
mendapat sebahagian habuan dunia tetapi apa yang mereka harapkan adalah
keredhaan dari Allah.
Khalid merupakan seorang tokoh
hebat dalam medan peperangan dan telahpun dilantik sebagai Panglima Perang
sebelum zaman pemerintahan Umar. Sememangnya kepercayaan masyarakat Islam pada
waktu tersebut amat tinggi terhadap kebolehan dan kehebatan Khalid.
Namun apa yang memeranjatkan,
setelah takhta khalifah diwariskan kepada Umar, beliau bertindak memecat Khalid
dengan menggantikan Abu Ubaidah untuk jawatan tersebut.
Tindakan ini amat mengecewakan
kebanyakan orang ramai dan menimbulkan perasaan tidak puas hati. Walau
bagaimanapun, Khalid menerima keputusan tersebut dengan tenang dan berterusan
taat terhadap kepimpinan Umar.
Hikmah Umar menurunkan pangkat
Khalid dan digantikan dengan Abu Ubaidah antaranya ialah agar ia mampu
menyedarkan umat Islam bahawa penyerahan diri dalam setiap perkara walaupun
dalam soal peperangan hanya kepada Allah.
Kebimbangan Umar terhadap umat
Islam yang keterlaluan mengagung-agungkan Khalid menyebabkan beliau melucutkan
jawatan Khalid.
Sementara itu mereka tertanya-tanya
pula mengapa Khalifah Umar bertindak tidak adil kepada Khalid yang berjasa itu?
"Tidak! Aku memberhentikan
Khalid bukan kerana tidak suka kepadanya. Juga bukan kerana dia tidak jujur.
Bahkan aku kagum padanya. Tindakan yang aku ambil hanyalah untuk menunjukkan
kepada rakyat bahawa kemenangan umat Islam selama ini hanyalah kerana
pertolongan Allah. Bukan kerana kehebatan Khalid. Jangan sampai ada tanggapan
bahawa kemenangan kita selama ini semata-mata kerana kehebatan Khalid bin
Al-Walid sahaja…” kata Khalifah Umar.
Sekadar renungan, jagalah niat kita
dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan kerana di situlah tali ukuran kepada
segala perbuatan kita.
Jika perbuatan kita bukan diniatkan
kerana Allah, sia-sialah amalan kita. Tetapi jika ianya dilakukan hanya untuk
mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata, InsyaAllah pahalalah ganjarannya
walaupun perbuatan kita itu hanya sebesar zarah.
Dan ingatlah segala kejayaan kita
datangnya daripada pertolongan Allah bukannya atas kehebatan kita.
Ikhlaslah dalam perjuangan agar kita tidak mengharapkan balasan
dunia (seperti pangkat, harta dan pujian) yang hanyalah bersifat sementara.
Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: "Bahawasanya segala amal perbuatan bergantung pada niat. Maka
barang siapa yang hijrahnya menuju (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka
hijrahnya itu ke arah (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang
hijrahnya itu kerana dunia (harta atau kemegahan dunia) atau kerana seorang
wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu ke arah yang
ditujunya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan