Ahad, 18 Disember 2016

KESETIAAN KHALID AL WALID KEPADA PEMERINTAH

Kisah kesetiaan Khalid al-Walid kepada pemimpin wajar dicontohi. Khalid al Walid merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan telahpun dilantik sebagai panglima perang sebelum zaman pemerintahan Saidina Umar al Khattab.

Sememangnya kepercayaan masyarakat Islam pada waktu tersebut amat tinggi terhadap kebolehan dan kehebatan Khalid al Walid. 

Namun apa yang memeranjatkan, setelah takhta khalifah diwariskan kepada Saidina Umar al Khattab, beliau bertindak memecat Khalid al Walid dengan menggantikan Abu Ubaidah untuk jawatan tersebut.

Tindakan ini amat mengecewakan kebanyakan orang ramai dan menimbulkan perasaan tidak puas hati. Khalid telah dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Umar, iaitu pada tahun 13 Hijrah sejurus selepas Umar dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah.

Namun kedua-dua peristiwa ini bukan kerana Khalid tidak baik dan bermasalah, Namun ia bertujuan menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah.  

Ia jelas dari surat yang dihantar Umar kepada umat Islam memberitahu agar mereka tidak terlalu ‘bergantung harap’ dengan Khalid sehingga tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan Khalid dan bukan kerana bantuan Allah.

Sebab kedua ialah berkaitan pentadbiran dalam urusan dan keputusan pembahagian harta. Pentadbiran Umar inginkan keteletian dan laporan berterusan dari setiap pegawainya, namun Khalid inginkan pentadbiran yang bebas dari penelitian sentiasa oleh Khalifah.

Di waktu Khalid dipecat dari jawatannya sebagai gabenor di Syria, beliau berkata: “Amir al-Mukminin melantik aku sebagai gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancar, beliau melucutkan jawatanku”

Lalu seorang lelaki berkata: “Sabarlah wahai ketua, ia waktu untuk bermulanya fitnah” Khalid membalas: “Selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu tiada ruang fitnah untuk berlaku”

Demikian hormat dan keyakinan Khalid terhadap Umar walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, amat difahaminya tindakan Umar adalah untuk mengelak fitnah, bukan mencipta fitnah.

Ketika Khalid hampir wafat (beliau wafat pada 21 H), beliau berkata kepada Abu Darda: “Wahai Abu Darda, bila Umar wafat kelak, kamu akan dapati sesuatu yang kamu benci berlaku”

Dan berkata lagi sambil mengelap air matanya: “Aku memang merasa sedikit kecewa dengan beliau dalam sesetengah isu, tetapi setelah aku fikirkan kembali berkenaannya di ketika aku sakit ini, aku menyedari bahawa Umar melakukannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan rahmat Allah dari setiap tindakannya”

Khalid juga melantik Umar sebagai waasi (pengurus harta pusakanya), ketika Umar menerima surat wasiat itu, beliau turut menangis.

Inilah sikap Khalid Al-Walid si Pedang Allah. Walaupun dipecat dari jawatannya, beliau menerima keputusan tersebut dengan tenang dan berterusan taat terhadap kepimpinan Saidina Umar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan