Ahad, 29 Mac 2026

PENGUKUR IKATAN PERSAHABATAN

 
Jika kehadiran ke sesuatu acara, majlis, kejadian atau jemputan dijadikan sebagai pengukur kepada persahabatan, maka bersaksilah bahawa rendahnya nilai persahabatan yang dibina selama ini.

Ambo banyak kali buat program, macam-macam program. Jemput sahabat. Bukan setakat buat jemputan di WhatsApp. Buat panggilan lagi. Tidak cukup itu pergi ke rumah berjumpa semuka.

Pada hari program banyak yang tidak datang. Kesemua yang tidak hadir itu ambo masih anggap mereka itu sahabat dan terus dijemput untuk program-program lain.

Kita bersahabat biar selama-lamanya. Untuk terus bersahabat tidak perlu diperbaharui lesen. Bukan macam lesen motosikal atau cukai jalan yang perlu diperbaharui setiap tahun atau ada tempoh tamatnya.

Kita boleh bersahabat dalam ukhwah Islam biarpun berlainan fahaman parti. Jangan remehkan orang lain disebabkan tidak sama fahaman perjuangan.

Ambo pernah dicap dalam kumpulan ini sebagai pengkhianat dan berpaling tadah meninggalkan perjuangan UMNO selepas kekalahan pada 2018 hanya kerana sedikit kesilapan "teknikal". Alhamdulillah.... ambo tidak putus sahabat dengan sahabat yang terkilaf ini.

Kita perlu sebut bukan untuk mengungkit atau menyalahkan sesiapa, tetapi sebagai peringatan agar menjadi pengajaran kepada kira semua. Jangan mudah membuat penilaian terhadap orang lain. Jangan mudah melabelkan. Jangan mudah terasa.

Untuk makluman sahabat, cara ambo mengendalikan WhatsApp ialah membaca dan kemudian terus padam. Dan ada yang tidak sempat ambo baca, tetapi terpadam.  Yang tidak sempat ambo baca ialah termasuk "Salam Sahabat @all". Jadi, ambo tidak tahu apa kandungannya.

Tetapi ambo rasa ia perkara yang "penting" kerana telah dibalas sebanyak dua kali oleh sahabat iaitu "Yg tu mungkin musang berbulu ayam....siang jadi ayam ..mlm jadi musang...haha...punoh harapan..." dan satu lagi "Kita anggap yg tak nak hadir tu bukan kerana tak nak bersahabat dengan kita, tapi kerana alasan lain yg menasabah..."

Ambo membuat kiriman adalah atas "Kita anggap yg tak nak hadir tu bukan kerana tak nak bersahabat dengan kita, tapi kerana alasan lain yg menasabah..." dan tidak ada "kaitan" dengan  "Salam Sahabat @all" kerana ambo tidak sempat baca kandungan kiriman itu sepenuhnya. Ambo hendak baca jika ada yang sudi "forward" kepada ambo.

Tidak sangka pula ada orang lain yang memberi maklum balas. Satu perkara lagi, ambo tidak tahu berapa bilangan dan siapa yang akan datang program ukhwah disebabkan ambo telah padam sebelum ini.

Disebabkan telah tua, ambo tidak mudah rasa tersentuh. Sudah banyak perkara yang dilalui sehingga lali dengan apa yang orang kata atau apa yang terjadi. Ayah ambo dan seluruh anaknya, termasuk ambo pernah dicap sebagai kapir dan macam-macam tuduhan dan cacian.

Alhamdulillah, keluarga ambo masih rasional dan masih dapat meneruskan hubungan "baik" dengan mereka yang melabelkan ambo sebagai kafir dan cacian. 

Ketika mereka (kerana banyak orang) mati, ambo masih ziarah kematian, solatkan jenazah dan hantar ke kubur biarpun mereka tidak pernah minta maaf atau menarik balik kata-kata mereka.

Jadi, kalau setakat tulisan atau komen sahabat dalam kumpulan WhatsApp ini, itu tidak menjadi kudis atau terkesan di hati. Namun, ia tetap menjadi ingatan dan pengajaran yang berpanjangan untuk mengenali sahabat.

Maaf jika tulisan ini panjangan dan mengguris hati sahabat-sahabat.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan