Jumaat, 26 November 2021

POKOK BEMBAN BERBUNGA CANTIK

 
Bemban merupakan sejenis tumbuhan berumpun dengan batang yang kelihatan seakan-akan pokok buluh. Daunnya yang agak besar dan berbentuk oval itu mempunyai permukaan yang cantik berkilat.

Pokok bemban atau nama saintifiknya Donax grandis merupakan sejenis tumbuhan yang biasa tumbuh di kawasan berair. Namun, ia juga boleh tumbuh di kawasan lembab tanpa air bertakung.

Batangnya tinggi dengan daunnya terletak di bahagian hujung batang. Bunganya berwarna putih dan menghasilkan bau wangi yang tidak kuat. Buahnya berbentuk bulat dan bersaiz kecil.

Bemban mudah membiak melalui anak yang terhasil dari rumpunnya. Ia boleh dibiakkan melalui pecahan rumpun.

Batangnya digunakan untuk dijarikan joran mengail. Namun, kegunaan joran itu untuk mengail ikan kecil seperti puyu.

Kulit batangnya yang telah dibelah nipis digunakan untuk menjahit atap rumbia. Selain daripada itu ia juga boleh dianyam untuk dijadikan bakul.

Daunnya boleh digulungkan dijadikan serunai dan menghasilkan bunyi yang merdu dan menjadi permainan kanak-kanak kampung. Batangnya juga boleh dijadikan senapang mainan.

Khasiat pokok bemban dalam perubatan tradisional:
- Menyembuh bisul – Ambil daun bemban. Layur dengan lilin dan seterusnya ditekap pada bisul tersebut. Proses perlu diulang sehingga bisul surut dan hilang.
- Ubat mata – Ambil beberapa helai daun bemban muda diramas di dalam air dan dititiskan pada mata. Untuk mata merah dan sakit mata.
- Untuk menghilang bengkak – Dikisar atau digiling seterusnya disapu pada bahgian yang bengkak.
- Penawar gigitan binatang berbisa – Patahkan batang bemban hingga mengluarkan air dan disapu di tempat gigitan tersebut.

Perkataan bemban, selain dimaksudkan pokok seperti dijelaskan di atas, ia juga bermaksud alat penangkap ikan seperti lukah yang diikat pada pancang.

Bemban juga merujuk kepada sejenis nama ikan darat atau ompok bimaculatus.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan