Khamis, 4 Februari 2021

SIPUT GONDANG EMAS KAYA KHASIAT

Siput gondang emas adalah haiwan perosak utama bagi tanaman padi. Memang sukar untuk menghapuskan siput gondang emas disebabkan kadar pembiakannya amat tinggi. 

Siput ini boleh bertelur sehingga 8,000 biji telur setahun. Lebih daripada 90% telur yang dihasilkan akan menetas dan membesar dengan kadar cepat. Siput gondang boleh hidup lebih daripada 3 tahun.

Kerugian ditanggung oleh petani jika tiada kawalan dilaksanakan terhadap serangan siput gondang emas boleh mencecah RM5,400 sehektar jika terdapat lima ekor siput gondang emas dalam satu meter persegi.

Walaupun siput gondang emas tergolong binatang perosak, ia boleh dimanfaatkan dan secara tidak langsung juga dapat mengurangkan populasinya.

Bagi haiwan, seperti itik yang dibela di dalam sawah untuk mengawal populasi siput gondang emas mampu untuk bertelur dengan lebih kerap. Selain itu, itik yang memakan siput gondang emas terhindar daripada mengalami masalah pinggang lembik dan patah pinggang.

Bagi golongan lelaki yang mengalami masalah tenaga batin dan lesu, siput ini mampu menguatkan tenaga batin orang lelaki dan kebiasaannya siput ini disediakan dalam masakan gulai kuning.

Telur gondang dikatakan dapat melebatkan rambut, cepat memanjangkan rambut dan juga menghitamkan rambut. 

Caranya telur ini diramas dengan tangan dan terus dilumurkan atas kepala dan biarkan lebih kurang setengah jam sebelum dicuci bersih. Diamalkan setiap hari sehingga nampak keberkesanannya. 

Juga dikatakan mujarab bagi sakit buasir, caranya telur ini dipanaskan dengan minyak kelapa dan dibiarkan sejuk. Lepas itu minyak yang telah diproses telur gondang tadi dilumur pada ibu jari. Gunakan ibu jari tadi untuk menekan buasir sehingga masuk.

Sebenarnya siput gondang ada penggemarnya. Biasanya ia dimasak gulai kuning. Isinya dicungkil atau disedut untuk mendapatkan isinya. Isi siput gondang agak kenyal, tetapi sedap.

Isi siput gondang kaya dengan kandungan mineral seperti kalsium, fosforus dan magnesium, selain sebagai sumber protin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan