Air nira memang popular sebagai minuman di Kelantan. Rasa air nira kelapa asli yang sedap beraroma menjadi pilihan banyak orang. Permintaan terhadap air nira kelapa biasanya melebihi penawaran sehingga sukar untuk diperoleh.
Air nira dihasilkan melalui proses ‘nyadat’ mayang
kelapa yang masih dalam seludang (kelopak pembalut mayang kelapa yang masih
muda).
Bahagian
hujung seludang dipotong sehingga mengena mayang di dalamnya. Seludang yang
dipotong perlu diikat rapi untuk mengelak ia berburai. Mayang yang dipotong itu
akan dibiarkan beberapa hari sebelum mengeluarkan atau menitiskan air nira.
Untuk
menumpul atau menadah nira, tukil diperbuat daripada buluh digunakan. Namun,
sekarang ini tukil banyak dibuat menggunakan botol minuman bersaiz besar yang
‘mulut’ muat untuk dimasukkan seludang kelapa yang diikat itu.
Air
nira menitis perlahan. Jumlah titisan terkumpul untuk setiap hari kira-kira 1
liter. Proses memunggut perlu dilakukan dua kali iaitu pada waktu pagi dan
petang yang mana jumlah setiap tuaian untuk setiap pokok kelapa adalah
kira-kira 500ml.
Setiap
kali memunggut nira, tok nyadat (orang yang kerja memunggut nira) perlu menyadat
(memotong) sedikit bahagian hujung mayang kelapa agar proses pengeluaran nira
berteusan.
Proses menyadat dilakukan sehingga keseluruhan mayang dipotong
yang mengambil masa kira-kira dua minggu dan nira tidak menitis lagi.
Laghu atau potongan kayu pokok
cengal perlu dimasukkan ke dalam tukir. Laghu berfungsi sebagai pengawet
semulajadi.
Dengan
adanya laghu, air nira boleh bertahan sehingga separuh hari tanpa perlu
dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Air nira kelapa menjadi
pilihan untuk menghilangkan dahaga dengan rasa yang amat memikat yang mampu
memberi kepuasan kepada penggemarnya.
Air nira yang dibiarkan
lebih semalaman akan bertukar rasa masam. Ia masih boleh diminum dan ada
penggemar suka minum air nira dibiarkan semalaman.
Namun, selepas dua atau tiga
hari dibiarkan tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk, air nira boleh memabukkan
dan dari segi hukum agama Islam ia haram diminum.
Air
nira kelapa yang telah masam tidak dibuang, sebaliknya dikumpulkan untuk
diproses menjadi manisan atau gula melaka. Jika dibiarkan dalam tempoh masa
lebih lama, air nira kelapa akan bertukar menjadi cuka kelapa dan kembali halal
untuk digunakan.
Selain nira kelapa, terdapat beberapa jenis nira lain yang keadaan sama dengan
nira kelapa iaitu nira nipah, nira kabung dan nira kurma.
Namun, cara menghasilkan nira
nipah, nira kabung dan nira kurma berbeza dengan nira kelapa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan