Isnin, 20 September 2021

SILAP KELUAR BARIS SELEPAS ACARA NAIKKAN BENDERA

Ini gambar tahun 1984. Sukan tahunan Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP), Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab. Sekarang SMIP dikenali SMKIP (Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra).

Lokasi padang ini sekarang sudah dijadikan Stadium Mini Sekolah Menengah Kebangsaan Putera, sekolah sukan.

Alkisahnya, untuk acara perbarisan masuk padang dan acara menaikkan bendera kejohanan diserahkan sepenuhnya kepada ambo untuk diuruskan.

Masa tu ambo anggota Kadet Polis berpangkat sarjan.

Acara dimulakan dengan semua pelajar berkumpul mengikut rumah masing-masing di tepi padang berhampiran dengan Jalan Long Yunus. Hadapan kawasan perumahan Polis.

Pergerakan masuk padang dilakukan secara serentak sebaris melintang sehingga ke tepi padang berhampiran bangunan sekolah.

Ambo bersama kumpulan membawa bendera berada di bahagian hadapan. Sudah tentu ambo yang paling di hadapan. Ambo melaungkan arahan pergerakan.

Apabila sampai di tempat tiang bendera, acara menaikkan bendera dilakukan dengan sempurna. 

Selesai menaikkan bendera ambo beri perintah ‘keluar baris’ kepada kumpulan anggota menaikkan bendera. Pelajar lain kekal berada dalam baris untuk acara perasmian.

Pergerakan ‘keluar baris’ adalah berpusing ke kanan dan seterusnya melangkah keluar baris.

Entah macam mana, ambo tersilap berpusing ke kiri. Pergerakan silap itu disedari beberapa orang penonton yang berada berdekatan.

“Eh dia silap pusinglah,” terdengar satu suara.

“Ala... dia ketua... kenalah pusing ikut lain,” kata kawannya di sebelah.

Ambo terus berjalan macam tidak berlaku apa-apa kesalahan seperti yang dikatakan oleh penonton kedua itu.

Dan, ambo tidak pasti orang lain perasan atau tidak kesilapan tersebut.

Inilah yang dikatakan, ketua selalu betul...... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan