Orientalis
boleh dibahagi kepada golongan seperti berikut.
Pertama,
yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk
memasukkan jarum mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam tentang agama
mereka. Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan gereja.
Golongan
kedua ialah orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan
negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya.
Golongan
ketiga ialah orientalis yang mengkaji Islam secara objektif. Mereka berpegang
kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran.
Namun,
sebahagian besar mereka adalah dalam kumpulan pertama dan kedua. Mereka dilihat
sangat aktif memain peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat
berpegang kepada ajaran Islam, jikapun tidak meninggalkannya terus.
Justeru,
umumnya apabila disebut orientalis, maka tergambar kelompok manusia yang
menjadi 'musuh' Islam biarpun ada segelintir kecil begitu jujur memegang
prinsip akademik dan keilmuan. Mereka menghambakan seluruh kebijaksanaan atas
dasar mencari kebenaran.
Antara
orientalis jujur memegang prinsip akademik ialah Edward William Lane. Dia berjaya menghasilkan kamus Arabic-English
Lexicon. Kamus ini diiktiraf dan diterima oleh pakar nahu Arab sendiri.
Usahanya
diiktiraf dan menjadi bukti tidak semua orientalis berniat serong terhadap
Timur dan Islam. Namun, bilangan orientalis yang termasuk dalam kategori itu
amat kecil.
Memandangkan
lebih banyak orientalis yang tidak jujur dalam usaha mereka, maka apabila sebut
saja orientalis, kita perlu lebih berhati-hati dalam menggunapakai hasil kajian
yang dihasilkan.
Jika
terdapat keraguan, elok jika menolak terus daripada menerimanya sebagai satu
hasil kajian akademik.
Usaha
keras orientalis untuk memesongkan pemikiran orang Islam agak berjaya. Di kalangan ilmuan Islam sendiri ada yang
terpengaruh atau berkiblatkan kepada orientalis secara membabi buta. Mereka
menjadikan kajian orientalis untuk memperkukuhkan hasil kajian sendiri yang
tidak seberapa.
Dengan
kata lain, mereka menjadi pak turut kepada apa yang diperkatakan oleh
orientalis. Dari satu sudut, kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka sebenarnya
lebih berbahaya daripada apa yang diungkapkan oleh orientalis sendiri.
Ini
kerana pada pandangan orang kebanyakan yang tidak mengetahui maklumat asal
kajian itu akan mengatakan apa yang dirumuskan oleh pengkaji Islam itu dianggap
benar-benar dibuat oleh pengkaji itu sendiri yang sudah tentunya dikatakan atas
roh keilmuan Islam.
Antara
faktor mengapa ini berlaku ialah kejahilan dan ketidakupayaan mereka merujuk
sumber warisan Islam yang dihasilkan oleh para ilmuwan Islam sendiri. Lebih parah lagi apabila sarjana Islam
terpaksa bergantung kepada sumber asal yang dihasilkan oleh orientalis.
Ini
kerana banyak manuskrip tentang Islam diperoleh atau tersimpan di perpustakaan
di negara-negara Barat berbanding di negara Islam sendiri.
Ini
berlaku semasa era penjajahan dulu banyak manuskrip Islam dibawa ke negara
Barat dan seterusnya dikembangkan pula melalui kajian yang dibuat oleh
orientalis.
Selain
itu, terdapat sarjana Islam membebaskan diri mereka daripada pengaruh agama
atas alasan untuk mencapai objektiviti akademik. Kononnya mereka melakukan
kajian secara ikhlas dan adil demi mencari kebenaran.
Sikap
ini lebih membawa padah apabila mereka gagal mengekalkan atau mengamalkan etika
kajian, sebaliknya lebih terpengaruh dengan kajian yang telah dibuat oleh
orientalis.
Padahal
hakikatnya mereka sendiri tidak objektif dalam mengkaji Islam dan sejarahnya.
Akar umbi dan asas pemikiran mereka yang sebenar ialah menolak Islam.
Lebih
parah lagi apabila terdapat di kalangan pengkaji orang Islam sendiri yang
sebenarnya menjadi pengkhianat kepada umat Islam sendiri kerana mereka telah menjadi
proksi kepada orientalis dalam menjayakan agenda jahat mereka.
Dalam
ghairah mencari populariti inilah membawa kepada pengkaji Islam menjadikan sumber
orientalis yang kemudiannya dianggap pula sebagai hasil kajian menyeluruh yang
dibuat oleh mereka sendiri.
Sedangkan
sebenarnya mereka telah meniru bulat-bulat apa yang dipersembahkan oleh
orientalis sebelum ini.
Biasanya
orang Islam kebanyakan tidak mempercayai jika kajian dibuat oleh orientalis. Namun,
jika hasil propaganda orientalis itu telah dicedok dan diiktiraf sendiri oleh
pengkaji dari kalangan orang Islam sendiri, maka ia mudah diterima oleh orang
Islam yang jahil atau lemah iman.
Maka
sebab itu, kita menemui pandangan atau rumusan yang dibuat oleh pengkaji Islam
mempertikaikan kredibiliti beberapa sahabat utama baginda, termasuk Saidina
Umar.
Mereka
menolak kedudukan tertinggi yang telah diberikan kepada para sahabat, malah
menyalahkan sahabat itu dalam soal tertentu.
Pengaruh
dan penguasaan pemikiran orientaslis yang meresap dalam pemikiran orang Islam
perlu dimurnikan agar tidak terlalu taksub sehingga gagal berfikir dengan
baik.
Untuk
mengelak terlalu bergantung kepada hasil kajian orientalis, maka usaha untuk
melahirkan lebih banyak pengkaji Islam yang benar-benar jujur dalam urusan
kajian demi mencari kebenaran perlu digiatkan.
Umat
Islam mesti menjadi umat pengkaji, bukannya menjadi pengguna kepada hasil
kajian pihak lain yang berniat buruk terhadap Islam.
Gambar hiasan: Kampung Pantai Senok dirakam dari Kampung Tanjung Kuala Sabak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan