Isnin, 27 Jun 2022

REZEKI DIKONGSI BAWA BANYAK KEBAIKAN

 
Rezeki datang dari segenap penjuru yang kita tidak sangka-sangka. Apa yang perlu dilakukan ialah berusaha untuk mendapatkannya dan bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah.

Antara tanda bersyukur ialah menggunakan rezeki yang diterima disalurkan kepada perkara kebaikan. Sekiranya keperluan untuk diri sendiri dan ahli keluarga telah dipenuhi, maka hendaklah ia disedekahkan atau digunakan untuk kepentingan orang lain.

Sedekah adalah pemberian golongan berkemampuan kepada golongan fakir dan miskin. Pemberian itu berupa wang, makanan, pakaian, peralatan keperluan hidup, tempat tinggal, dan seumpamanya.

Selain itu, rezeki atau harta yang dimiliki diwakafkan untuk manfaat umum. Mewakafkan harta ialah sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai yang tidak ditentukan penerima manfaatnya.

Sedekah adalah tanda keikhlasan memberi sesuatu yang dimiliki tanpa mendapat sebarang balasan daripada penerimanya. Apa diberikan itu semata-mata kerana ketakwaan kepada Allah. 

Nyata sekali orang bersedekah tidak dilalaikan dengan kemewahan yang dijadikan ujian kepadanya. Dia mengharapkan balasan sebaik-baiknya daripada Allah. Harta dimiliki digunakan sepenuhnya sebagai pelaburan hari akhirat.

Orang yang mengharapkan kemanisan nikmat takwa selalu ringan tangan menghulurkan sedekah kepada golongan miskin. Melihat kegembiraan atau membantu menyelesaikan masalah hidup orang miskin melahirkan perasaan nikmat yang tidak terhingga. 

Orang yang bersedekah secara ikhlas sedar bahawa apa yang dihulurkan itu amatlah sedikit nilai baginya di dunia ini. Sedangkan Allah menyediakan nikmat lebih besar sebagai gantinya. 

Firman Allah bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menderma sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa juga yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali Imran, ayat 92).

Kenikmatan hidup di dunia tidak hanya terhad kepada nilai kekayaan dan kemewahan hidup secara fizikal saja. Kedua-dua nikmat itu hanya sebahagian daripada nikmat yang sebahagian banyak dijanjikan Allah.

Menurut Imam al-Ghazali, nikmat ialah setiap kebaikan, kelazatan dan keinginan yang dipenuhi menurut kehendak sanubari seseorang manusia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan