Rasanya
tidak pernah terjadi sebelum ini, dalam perbarisan kawad ada orang awam (tidak
beruniform) turut berdiri di dalam barisan bagi memastikan anggota beruniform
terus dapat kekal berdiri meneruskan perbarisan.
Namun
perkara itu terjadi dan menjadi tular gambar seorang lelaki tua mengangkat
anggota perbarisan yang pengsan dan terus berdiri di situ untuk memastikan
anggota itu dapat terus berada dalam perbarisan.
Peristiwa
pada pagi 21 Julai 2022 itu memperlihatkan ketulusan kasih seorang lelaki yang
ibarat bapa kepada anak yatim dikenali Nik Mohd Asdhar itu, nyata menyentuh
hati hadirin sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Kajang.
Meskipun
sudah dimamah usia, seorang lelaki sanggup bergegas di bawah terik matahari
semata-mata untuk membantu anak saudaranya yang tiba-tiba tumbang ketika
berkawad.
Bayangkan
dalam keadaan dirinya sendiri sudah dimamah usia, lelaki berkenaan yang sebelum
itu berada di khemah tetamu segera berlari tanpa menghiraukan selipar dipakainya
yang tertanggal, semata-mata untuk membantu anak saudaranya itu yang terbaring.
Tidak
hairanlah ramai hadirin mengalirkan air mata menyaksikan detik itu, apatah lagi
lelaki turut menggunakan tubuh tuanya sebagai benteng bagi mengelak anak muda
itu kembali rebah.
Ramai
yang berada di lokasi turut sebak melihat ketulusan kasih lelaki itu meskipun
yang tumbang itu bukan anak kandungnya sendiri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang berada di lokasi turut sebak
melihat ketulusan kasih lelaki itu meskipun yang tumbang itu bukan anak
kandungnya sendiri.
Berkongsi
detik itu melalui akuan Facebooknya, beliau mengakui banyak yang tersirat di
sebalik turutan gambar yang turut dikongsi.
"Ketika
anaknya (anak saudaranya) terkujur tatkala berkawad, kerana menahan terik
mentari, berlari si ayah (bapa saudara) menerpa dari arah khemah tetamu.
"Sehingga
terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada
di sisi anak (anak saudaranya) dalam sekelip mata.
"Melihatkan
pengorbanan tidak terperi seorang 'ayah', berjurai air mata hadirin membasahi
pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali," tulis beliau pada keterangan
gambar dalam catatan Facebook hari ini.
Berdasarkan
foto yang dikongsi, jelas memperlihatkan lelaki itu yang berkopiah dengan
berkaki ayam berlari meredah permukaan yang panas terik ke arah anak
saudaranya, sebelum memapahnya untuk bangkit kembali.
Turut
dikongsi foto lelaki itu menjadikan susuk badannya sebagai benteng di belakang
bagi mengelakkan anak saudaranya itu kembali rebah.
Menurut
Alexander, daripada tindakan spontan itu, beliau bersama yang lain membayangkan
lelaki itu pasti ingin mengusung anak saudaranya itu keluar daripada barisan,
namun ternyata sangkaan sedemikian meleset.
"Meskipun
badan dimamah usia, anak itu dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan
menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya (anak
saudaranya) kembali rebah," katanya.
Beliau
berkata, apa yang berlaku itu benar-benar menunjukkan kasihnya seorang bergelar
'ayah' yang sanggup berkorban jiwa, sambil menggambarkannya sanggup membiarkan
jiwa tersiksa dan dengan sepenuh keikhlasan dan rela, asalnya 'anaknya'
bahagia.
"Kepada
mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah, hargai, sayangi dan santunilah
selagi hayatnya dikandung badan," akhirinya pada catatan itu.
Dalam
pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, melalui catatan di
Facebook memaklumkan lelaki yang tumbang itu adalah Nik Mohd Adhar, anak
angkatnya yang kini bertugas sebagai pengguat kuasa KPDNHEP di Tawau, Sabah.
"Beliau
anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah
seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi.
"Dalam
gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya
beliau jatuh pitam seketika ketika berkawad pagi tadi ialah bapa saudaranya
yang bernama Abdul Aziz Ya'acob yang memeliharanya sejak kematian kedua ibu bapa,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan