Ahad, 27 November 2022

KAGUM SIKAP RAKAN MINAT BERMAIN GOLF

 
Ambo memang kagum dengan sikap rakan-rakan (dialek Kelantan sebut saing-saing) yang minat bermain golf. Mereka ni saing ambo satu ambilan atau skot semasa berkhidmat dalam tentera dahulu.
 
Dalam tentera, sukan yang biasa dimainkan di kalangan pegawai ialah golf. Kebanyakan kem tentera ada padang golf, walaupun sesetengahnya tidak lengkap sekadar beberapa lubang sahaja.
 
Ambo masa berkhidmat dalam tentera dahulu tidak bermain golf, biarpun sempat memangku jawatan bendahari kelab golf dalam satu kem tentera. Hari-hari tengok orang main golf dan terlibat dengan aktiviti kelab golf, tetapi ambo tidak berminat main golf.
 
Sebenarnya, ambo pernah juga memukul bola golf, kononnya cuba untuk bermain. Huh... memang hebat. Berasa hendak teruskan.
 
Memang amat puas apabila pukulan tepat mengena, biarpun bola menuju entah ke mana. Apa yang penting pukulan mengena dan bola menuju ke hadapan. Tidak kisahlah... mula-mula belajar katakan.
 
Namun, ambo tidak teruskan minat bermain golf. Ambo lebih berminat hendak menulis. Tahun ini sudah masuk tahun ke-40 (tulisan pertama disiarkan di akhbar) ambo menulis.
 
Sudah lama ambo meninggalkan perkhidmat sebagai anggota tentera, namun masih banyak skot ambo setia meneruskan perkhidmatan. Pun begitu, semakin banyak yang menghampiri usia pencen dan ada juga yang sudah pencen.
 
Namun, hubungan skot masih rapat, terutama yang minat bermain golf. Mereka masih kerap berjumpa bermain golf di lapangan yang dipilih.
 
Janji ada ruang masa, mereka pasti bersama. Biarpun masing-masing sibuk, tetapi berusaha mencari ruang masa untuk bersama. Asalkan ada ajakan atau cadangan, pasti terlaksana.
 
Tempat yang juah tidak menjadi penghalang. Mereka sanggup meredah perjalanan jauh demi untuk bermain bersama-sama.
 
Mereka puas hati bermain bersama-sama meneruskan ikatan persahabatan. Golf menjadikan mereka matang dalam persahabatan. Kekal dan terus bersahabat.
 
Ambo sekadar melihat dari jauh....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan