Jumaat, 10 Februari 2023

MUDAHNYA CARA MENDAPAT KAWAN

 
Manusia adalah haiwan sosial. Hidup dalam berkumpulan dan saling memerlukan. Kelompok hubungan itu berlaku dalam pelbagai bentuk atau keadaan. Hubungan dalam satu keluarga adalah asas paling penting. Kemudian ia berkembang membentu hubungan sanak saudara, jiran sekampung, rakan sekerja, sahabat hubungan media sosial dan sebagainya.

Selain hubungan keluarga, istilah yang biasa disebut ialah hubungan kawan atau sahabat. Atas sifat tabie manusia, kita perlu banyak kawan untuk pelbagai tujuan.
 
Minum di kedai kopi tentu tidak sedap jika minum seorang diri atau tidak akan duduk lama. Kalau ada kawan, tentu sekali meriah dan menyeronokkan.  
 
Siapa sebenarnya kawan atau sahabat? Kawan adalah orang yang dikenal rapat dan disukai tetapi tidak bersaudara dengannya. Kata kunci di sini ialah kenal dan suka.
 
Kita ambil contoh berkawan dalam kmpulan whatsapp atau di media sosial.
 
Macam mana hendak kenal orang lain dan orang lain kenal kita? Cukup mudah sebenarnya. Gunalah nama sebenar. Nama yang orang lain dapat kenal kita. Keduanya, gunalah gambar profile wajah sendiri. Gambar yang jelas menunjukkan wajah kita.
 
Banyak yang berada dalam kumpulan whatsapp tidak menggunakan nama dan gambar sebenar. Mereka ini boleh dipanggil penyamar dan penakut. Atau jika tidak termasuk dalam kategori itu adalah layak dipanggil tidak mahu berkawan. Kalau tidak mahu berkawan, elok keluar sahaja dari kumpulan whatsapp itu.
 
Cara kedua untuk berkawan ialah kita jangan melakukan perkara yang tidak disenangi oleh orang lain. Kalau tidak boleh gembirakan kawan, jangan sekali-kali sakiti hatinya.
 
Di kumpulan whatsapp, jangan sekali-kali kirimkan kandungan yang boleh menyebabkan ahli kumpulan tidak senang. Jangan wujudkan keadaan tidak puas hati atau sakit hati. Hormati perasaan orang lain. Kita berasa kita betul, tetapi kita tidak selalunya benar.
 
Isu politik sering menyebabkan suasana panas dalam kumpulan whatsapp. Cerita politik itu perlu, tetapi bukan untuk menegakkan benang basah. Kalau hendak berpolitik, boleh tubuh kumpulan whatsapp lain yang khusus untuk bergaduh tentang politik.
 
Carilah kawan, bukannya lawan. Sebenarnya mudah untuk mencari kawan. Buat apa orang suka dan jauhkan perkara orang benci. Atau lebih baik duduk diam-diam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan