Perkara baik, biarpun balasan pahala kecil, jika selalu dilakukan, maka jumlahnya akan menjadi besar juga. Perkara kecil dan mudah boleh dilakukan selalu.
Umpamanya tidak sukar untuk kita senyum
untuk melakukan sedekah. Lebih banyak orang menerima senyuman kita dan mereka
terasa tenang atau gembira melihatnya, mengeratkan ukhuwah sesama muslim,
bermakna kita telah bersedekah kepada banyak orang.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW
melalui sabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun,
walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan
senyuman).” (Hadis riwayat Muslim)
Maka, hendaklah kita banyakkan senyuman dan
melakukan perkara baik lain biarpun nampak remah atau dianggap tidak
mendatangkan pahala. Rebutlah peluang disedikan Allah SWT dengan ikhlas dan
mengikut aturannya.
Sesungguhnya, apa saja yang mendatangkan
kebaikan atau mengelak daripada melakukan perkara buruk adalah satu kebajikan.
Lakukan dengan ikhlas, kemudian terserahlah kepada Allah tentang memberi
ganjarannya.
Sebenarnya, kita tidak mengetahui amalan
manakah yang akan memasukkan kita ke dalam syurga dan mengelak daripada api
neraka. Oleh itu, perbanyakan amalan baik walaupun perkara yang kecil.
Sabda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira)
dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang
mengganggu manusia.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini mengisahkan seorang lelaki
melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang
dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang
ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.
Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya
dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja
kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat
besar iaitu syurga penuh kenikmatan.
Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan
kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredaan Allah. Mungkin rahmat dan
reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi
salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.
Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu
sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang
akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barang siapa melakukan suatu amalan yang bukan ajaran kami, maka amalan
tersebut tertolak” (Hadis riwayat Muslim)
Firman Allah SWT bermaksud: “Barang siapa
yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, niscaya dia akan melihat (balasannya).
Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, niscaya dia akan
melihat (balasannya) pula.” (Surah Az-Zalzalah, ayat 7-8).
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila
seseorang berjalan di atas jalan, dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya
(untuk dibuang), dan dia bersyukur kepada Allah, dan Allah
mengampunkannya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan