Orang parti perlu setia dengan parti. Kekal bersama parti dalam apa juga keadaan. Justeru, seluruh ahli UMNO perlu ditanamkan dalam pemikiran bahawa “kita orang UMNO dan apa tawaran sekalipun mahupun diugut, kita orang parti tetap teguh pendirian”.
Kecintaan dan kesetiaan kepada parti perlu dipasak
ke dalam diri setiap ahli UMNO sebagai azimat dan benteng yang tidak akan memesongkan
mereka menjadi durhaka dan meninggalkan UMNO.
Fenomina terhakisnya jati diri UMNO di kalangan
ahli parti keramat ini berlaku bukan sahaja di kalangan ahli biasa, bahkan
turut melibatkan individu di peringkat kepimpinan tertinggi. Sikap tunjuk keras
kepada dan berasa diri terlalu hebat menyebabkan mereka “langgar” semua orang.
Apabila dikenakan tindakan disiplin, maka dicanangkan
bahawa hak bersuara dalam parti telah mati. UMNO hanya dikuasai individu
tertentu. Manakala yang setia pula dituduh sebagai pengecut serta rela menjadi
pak turut.
Jadilah orang parti dan bukannya penunggang parti
untuk kepentingan diri sendiri. Orang parti bersedia berkhidmat kepada parti
dengan sepenuh hati. Mereka sanggup menyumbang apa sahaja yang dimiliki
termasuk wang sendiri demi untuk parti terus maju ke hadapan.
Orang parti tidak takut kepada ugutan. Tetap setia
dengan parti biarpun mungkin dirinya berdepan sesuatu tindakan oleh pihak lain
yang menyebabkan kesan buruk kepada dirinya. Biar dirinya menjadi benteng hadapan
menahan rempuhan serangan pihak musuh. Rebah tidak bererti menyerah, tetapi
tetap berusaha untuk bangkit.
Orang parti tidak akan mudah tertarik dengan sinar
gemerlapan yang berada di kubu lawan. Sesekali tidak akan tertarik untuk masuk
ke dalam kubu lawan dan bersama-sama dengan mereka. Biar gelap di kubu sendiri,
tetap tidak akan meninggalkan pusaka yang telah diwarisi daripada pejuang terdahulu.
Ayuh, kita jadi orang parti bersama-sama pemimpin
yang teguh pendirian dan kental jiwanya untuk kekal berjuang di dalam parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan