Banyak pengguna laman sosial hari ini sama
ada secara sengaja mahupun tidak sengaja menulis seakan gembira mempersenda
mana-mana tokoh figura yang tidak digemari tanpa disedari perilaku tersebut
sebahagian daripada cemuhan dan umpatan yang ditegah agama.
Sesungguhnya perbuatan demikian itu adalah
satu umpatan yang amat besar dosanya. Perbuatan yang dijadikan “hobi” dan “bangga”
itu menyebbkan dirinya muflis di akhirat nanti.
Di akhirat nanti akan timbul perasaan menyesal
yang tidak berguna lagi. Firman Allah bermaksud: “Sungguh besar sesal dan
kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipanku terhadap Allah serta aku telah
menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan” (Surah al-Zumar, ayat
56).
Mengikut Imam Ghazali, mengumpat itu ialah
engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya
sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh
badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau
dunianya termasuk pakaiannya, rumahnya atau haiwannya’. (Al-Ghazali, Ihya’
‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)
Mengumpat boleh terhasil dengan perkataan,
penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain, walau sekecil mana pun perkara itu,
ia dikira mengumpat.
Aisyah pernah mengisyaratkan bahawa Safiyah
itu rendah. Mengetahui perbuatan Aisyah itu lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan
(kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan
bertukarlah) ia.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Cukuplah hadis ini menerangkan betapa
buruknya mengumpat. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas Aisyah
hanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah itu rendah (pendek), maka ia cukup
untuk mengotorkan air laut seluruhnya.
Berkata al-Nawawi: Makna ‘tercampurlah ia’
dalam hadis di atas ialah air itu bercampur dengan kalimah itu sehingga
bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan mengumpat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan