BAIK SANGKA ELAK TUDUH ORANG BUAT JAHAT
Baik sangka sangat dituntut dalam Islam
kerana boleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau
melakukan keburukan. Manusia yang buruk sangka seolah-olah memfitnah orang
kerana sifat itu tidak mempunyai bukti nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadi
fitnah yang membawa kepada dosa besar.
Baik sangka mempunyai banyak kebaikan dan
kelebihan. Antaranya supaya hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi
lebih baik. Apabila hati bebas daripada buruk sangka, maka yang ada dalam hati
adalah sangkaan yang baik-baik saja.
Sudah pasti hatinya bertambah cinta pada
saudara dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia. Pada
masa sama kelebihan berbaik sangka adalah dapat mengelakkan masyarakat daripada
berpecah-belah yang hanya akan merugikan anggotanya dan negara.
Pun begitu, jika benar kemungkaran telah
berlaku dengan nyata, Islam mewajibkan umatnya mencegah kemungkaran itu dengan
kemampuan yang ada. Andai kata kita melihat atau ternampak orang melakukan dosa
dan kemaksiatan tetapi masih bersikap baik sangka, itu boleh membawa kepada
mudarat lebih besar.
Sebab itu, apabila ada kemungkaran berlaku,
berusahalah untuk mencegahnya, biarpun dengan hanya di dalam hati.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa
antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah mencegah dengan tangan (kekuasaan);
jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan) dan jika ia tidak
mampu jua, maka dengan hatinya (tidak senang, setuju dan reda). Dan itu adalah
selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)
Sheikh Abdul Kadir al-Jailani berpesan
supaya kita menginsafi kekurangan diri dan sentiasa bersikap baik sangka
terhadap sesama insan. Beliau memberi empat nasihat kepada kita.
Pertama, jika kamu bertemu dengan
seseorang, maka yakinlah dia lebih baik darimu. Maka ucapkan dalam hatimu:
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi
daripadaku."
Kedua, jika bertemu anak kecil, maka
ucapkanlah dalam hatimu: "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah,
sedangkan diriku sudah banyak bermaksiat kepada-Nya. Tentu anak ini jauh lebih
baik dariku."
Ketiga, jika bertemu orang tua, maka
ucapkanlah (dalam hatimu): "Dia sudah beribadah kepada Allah jauh lebih
lama dariku, tentu dia lebih baik daripadaku."
Keempat, jika bertemu dengan orang berilmu,
maka ucapkanlah dalam hatimu: "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan
kuperoleh, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa
yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik
dariku."
Baik sangka terhadap sesama makhluk lebih
mulia daripada buruk sangka yang boleh mendatangkan dosa. Namun, perlu diingat baik
sangka perlu diimbangi sikap berhati-hati. Seperti mana perlunya baik sangka,
begitulah juga kita perlu berhati-hati agar sifat baik itu tidak dieksploitasi
musuh atau orang berkepentingan.
Sikap berhati-hati juga dibina oleh
pengalaman. Apabila ilmu, fakta, dalil dan pengalaman bergabung, terbinalah
sikap matang dalam baik sangka. Kita baik sangka tetapi tidak mudah untuk
ditipu dan dikhianati.
Sikap berhati-hati dan belajar daripada
pengalaman sangat penting agar sikap berbaik sangka tidak diputar-belitkan,
dikhianati dan diperalatkan oleh orang berniat jahat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan