Khamis, 4 April 2024

ISLAM HARAMKAN HISAP VAPE

 
Bilangan mereka yang menghisap dan ketagih rokok elektronik atau vape semakin meningkat. Bahkan, didapati penghisap vape langsung tidak “malu” untuk menyedutnya apabila dikehendaki. Benda haram itu disedut dan digantung di leher, tayang kepada orang lain yang dia tu penagih nikotin.
 
Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok elektronik ini berbeza bergantung kenyataan tertulis pada labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi).
 
Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.
 
Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nikotin dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.
 
Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “Tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian niklotin. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok”. 
 
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), fenomena penggunaan vape ini bertentangan dengan dasar dan polisi KKM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk amalan rokok.
 
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-93 yang bersidang pada 25 Ogos 2015 telah membincangkan perkara berkenaan dengan hukum menghisap rokok elektronik, shisha dan shisha stick.
 
Fatwanya adalah:
“Hukum menghisap rokok elektronik, shisha dan shisha stick adalah haram kerana mendatangkan mudarat kepada tubuh badan manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Perkara ini selaras dengan Kaedah Fiqhiyah: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”.”
 
Pengharaman berkaitan rokok elektronik (vape) juga turut difatwakan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan negeri-negeri yang lain:
 
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2015 memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.
 
Manakala di peringkat badan fatwa antarabangsa antara yang mengharamkan rokok termasuklah:
- Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah (Badan Fatwa Jordan)
- Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Badan Fatwa Mesir)
- Dar al-Ifta’ Libyah (Badan Fatwa Libya)
- Al-Majlis al-Urubba li al-Ifta’ wa al-Buhus (European Council for Fatwa and Research)
- Al-Majlis al-Islami li al-Ifta’ (Badan Fatwa Palestin)
 
Sesungguhnya Islam mengharamkan ke atas umatnya perkara yang mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
 
Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infak di jalan Allah tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Shawkani: “Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Oleh itu, setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dala umum ayat ini dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.
 
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman: “Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (Surah al-Nisa, ayat 29).
 
Menurut al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri. Ayat ini secara tidak langsung boleh dikaitkan dengan tabiat merokok dan menghisap vape bercirikan amalan yang membunuh diri sendiri.
 
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Samit sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak)” (Hadis riwayat Ibn Majah)
 
Justersu vape mendatangkan memudaratkan, merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan