Sekarang banyak kriman di media sosial yang
memaparkan pautan (link) yang membawa pengguna ke akaun e-dagang terkenal. Pemilik
akaun profile, pentadbir kumpulan dan halaman akan membuat kiriman mengenai tajuk,
cerita atau gambar yang menarik perhatian banyak warga maya.
Disebabkan ingin mengetahui lanjut mengenai
tajuk atau maklumat tersebut, warga maya dikehendaki klik pautan yang
diberikan. Malang sekali, pautan tersebut sebenarnya tiada kaitan dengan tajuk
atau gambar berita, sebaliknya pautan tersebut membawa pelayar kepada akaun
e-dagang terkenal.
Penipuan pautan tersebut bukan dirancang
atau dilakukan oleh platform e-dagang berkenaan, tetapi oleh mereka yang
membuat pemasaran melalui internet. Individu yang tidak bertanggungjawab itu
menipu pautan semata-mata untuk mendapat komisen
Biarpun pelayar yang membuka pautan
tersebut tidak membeli produk di dalam pautan tersebut, tetapi tindakan klik
tersebut akan “mengikat” pengguna akan membolehkan pengiklan atau yang terlibat
dalam affiliate itu tetap mendapat komisen jika dalam tempoh tujuh hari melawat
dan kemudian membeli mana-mana produk di platform e-dagang tersebut.
Tempoh tujuh hari ini akan terbatal jika
pengguna klik pautan affiliate lain dan dia akan terikat dengan affiliate itu
untuk tempoh tujuh hari seterusnya.
Secara konsepnya, pengguna tidak mengalami
apa-apa kerugian jika terlibat dengan situasi tersebut. Komisen yang dibayar
atau diambil itu bukan daripada pengguna.
Namun, yang menjadi persoalan ialah sikap
tidak bertanggungjawab pemilik atau pentadbir akaun media sosial yang menipu warga
maya dengan meletakkan pautan yang tidak sama dengan tajuk dan gambar yang
dikirimkan.
Akibat penipuan tersebut, banyak pengguna
media sosial tidak mahu klik pautan lain yang dianggap juga satu penipuan. Keadaan
itu menyusahkan pemilik atau pentadbir yang benar-benar ingin berkongsi pautan
yang benar-benar membawa kepada laman web bermanfaat.
Ingatlah sebarang bentuk penipuan adalah
dosa. Sesiapa yang terlibat dengan amalan tersebut telah terlibat dalam
perbuatan dosa. Jadi, sebarang pendapatan hasil penipuan itu adalah haram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan