Selasa, 18 Jun 2024

SAMBUTAN AIDILADHA DI KELANTAN TERBUKTI MERIAH

 
Sambutan Aidiladha atau Hari Raya Korban memang meriah di Kelantan. Kemeriahan sambutan antara lain berpunca kepulangan anak Kelantan dari perantuan. Kenderaan bernombor pendaftaran luar Kelantan memenuhi segenap ceruk negeri Kelantan bukti kepulangan perantau untuk menyambut Aidiladha di kampung halaman.
 
Demi memastikan dapat cuti lebih panjang berbanding cuti umum yang hanya sehari, banyak perantau yang sanggup korbankan cuti Aidilfitri demi untuk diambil ketika Aidiladha. Atau, banyak anak Kelantan yang berkahwin dengan pasangan daripada negeri lain sanggup bercuti Aidilfitri di rumah pasangan masing-masing, dan ketika sambutan Aidiladha akan pulang beraya di Kelantan.
 
Selain acara ibadat korban yang menjadikan sambutan Aidiladha di Kelantan meriah, amalan kunjung mengunjung juga tidak kurang meriahnya. Perantau mengambil kesempatan bertemu dengan adik beradik, sanak saudara dan rakan-rakan yang turut pulang berhari raya di kampung halaman.
 
Program berkumpul ahli keluarga, terutama di tempat diadakan program ibadat korban, menjadikan suasana amat meriah. Satu suasana yang amat berbeza berbanding dengan susana di negeri-negeri lain.
 
Demi merasai kemeriahan dan pengalaman melakukan ibadat korban di Kelantan, ada keluarga yang sanggup datang ke Kelantan. Dibantu dengan penduduk kampung, acara ibadat korban dilakukan dengan meriah yang memberi pengalaman baharu kepada mereka.
 
Semoga kemeriahan ini terus menjadi tradisi atau budaya di Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan