Isnin, 25 November 2024

PISANG KELAT JAMBI

 
Pisang kelat jambi ialah kultivar pisang kacukan triploid AAB yang banyak ditanam di Brazil, India, Hawaii, Cameroon dan Australia. Pokok pisang kelat jambi jenis mudah ditanam dan lasak.
 
Pisang kelat jambi tidak ditanam secara ladang atau besar-besaran disebabkan permintaan terhadapnya tidak banyak. Jadi, kalau ada yang menanam pisang ini hanya untuk kegunaan atau makan sediri dan ahli keluarga.
 
Pisang ini tidak mendapat permintaan tinggi disebabkan tidak banyak kegunaan. Buah pisang ini biasanya hanya dimakan segar dan tidak sesuai untuk dibuat pengat, digoreng, disira atau digunakan untuk membuat kuih.
 
Tekstur isi pisang kelat jambi agak kenyal dan boleh dibelah secara memanjang kepada tiga bahagian hanya dengan menggunakan jari. Rasanya kelat ketika belum masak sepenuhnya dan bertukar manis apabila masak ranum.
 
Buah pisang kelat jambi biasanya ada biji, tetapi tidak sebanyak pisang gala. Mungkin sebab itu budak-budak tidak suka memakannya.
 
Pun begitu, pisang kelat jambi ada peminatnya. Sebab itu, pisang ini masih ditanam di kebun atau di kawasan rumah untuk memenuhi pemintaan peminatnya.
 
Catatan - Definisi kultivar ialah istilah yang merujuk kepada jenis tumbuh-tumbuhan yang diperoleh dengan menggunakan teknik tertentu atau yang diperoleh dalam keadaan yang terkawal; jenis yang bukan jenis asli: (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan