Pada 19 Januari 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar
Ibrahim mengumumkan Malaysia Madani sebagai kerangka dasar bagi memartabatkan
semula negara sebagai negara makmur dan dihormati.
Enam teras
Malaysia Madani ialah:
Kemampanan -
Mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu
pengetahuan dan kearifan tempatan.
Kesejahteraan -
Belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan
Daya
cipta - Pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya
cipta manusia.
Hormat -
Perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan
perbedaan pandangan dunia.
Keyakinan -
Menghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan
perubahan ke arah kebaikan.
Ihsan -
Belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan.
Malaysia Madani merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik
untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang
sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
Definisi madani: maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan
(berkenaan masyarakat, generasi dan sebagainya): usaha untuk membentuk
masyarakat madani dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan; kurikulum
itu juga terarah kepada pembinaan masyarakat madani (Kamus Dewan Edisi
Keempat)
Madani merupakan sintesis gaya Malaysia, yang menggabung jalin amalan sedia ada
dengan kaedah baru yang direka untuk menangani isu-isu baru dan ketidakpastian.
Enam nilai teras Madani dicerakin sebagai kerangka dasar dan falsafah yang
berkait rapat dan bersepadu, dengan setiap satu menguatkan yang lain.
Madani diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan
mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan
melalui reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.
Misi Madani menetapkan matlamat kita adalah untuk mengubah Malaysia menjadi
negara yang lebih makmur dan maju berteraskan enam nilai Madani melalui
kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama.
Manakala visi Madani pula menetapkan harapan untuk mencorak masa hadapan
Malaysia dengan segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk
perubahan yang mengubah dunia, dan bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman
pascanormal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan
tempatan.
Malaysia Madani mempunyai agenda khusus
kepada penyelesaian masalah, memenuhi keperluan semasa, menyentuh pencorakan
masa depan dan memenuhi potensi rakyat serta negara.
Cita-cita besar ini
akhirnya bermatlamat demi membina semula kegemilangan Malaysia sebagai negara
makmur dan adil. Ia disertakan dengan penolakan kepada sebarang bentuk
kezaliman terhadap individu atau kaum.
Lantaran itu, enam teras Madani harus dihadam dan diasimilasi oleh setiap diri
penjawat awam dalam konteks nilainya.
Pertama - Kemampanan. Ia merujuk kepada
usaha-usaha perkhidmatan yang dijalankan oleh penjawat awam dalam mencapai
kelewahan (lebih baik) dan kemajuan mutu hidup masyarakat. Dalam hal ini,
penekanan kepada keseimbangan dengan acuan sendiri yang unik sangat ditekankan.
Tidak boleh ada “peniruan usaha” secara “semberono” daripada percontohan lain.
Ikhtiar-ikhtiar mampan menuntut nilai-nilai
kebersamaan, kolektif dan berterusan daripada penjawat awam dan semua lapisan
rakyat. Dalam mencapai kesejahteraan dan keseimbangan ini, penjawat awam
diminta menyerlahkan sifat saling menghormati dan mengasihi sesama manusia dan
alam sekitar dalam segala urusan perkhidmatannya.
Kedua - Kesejahteraan. Penjawat awam harus
melihat segala khidmat yang diberikan harus terangkum dalam keseimbangan
mewujudkan kesejahteraan rakyat dan bersifat progresif secara jasmani mahupun
rohani. Sejahtera berhubung kait dengan nilai kecemerlangan dan kejayaan
(al-falah).
Pelonjakan kecemerlangan dapat dicapai melalui
pemantapan modal insan dengan kompetensi (kecekapan) masa hadapan. Ia bagi
membantu organisasi menjadi lebih kukuh dan fleksibel, pengurusan dan
pembangunan sesuatu projek bertambah cekap, pantas serta berimpak tinggi.
Ketiga - Daya Cipta. Ia mengambil pendirian
terhadap keupayaan penjawat awam melakukan sesuatu perancangan tugasan dengan
betul dan berkesan buat pertama kali. Namun yang terlebih penting ialah aspek
kreativiti meliputi nilai reka cipta dan reka baharu.
Daya cipta pada setiap penjawat awam
diharap mewujudkan proses perubahan yang berkesan dalam organisasi sekali gus
perkhidmatan kepada rakyat.
Penjawat awam dengan segala kelebihan pada
organisasi hendaklah mampu merangsang dan menggalakkan penghasilan sistem, idea
dan proses yang boleh ditambah baik serta lebih maju.
Keempat - Hormat. Nilai menghormati
merupakan cerminan kepada tingkah laku penjawat awam yang berbudi bahasa,
bersopan santun dan tawaduk. Ia sekaligus menjadi asas kepada maruah
perkhidmatan awam unggul. Setiap penjawat awam diminta menumpukan khusus kepada
keperluan hak asasi dan maruah rakyat yang disantuni pada organisasi
masing-masing.
Sebagai contoh, warga perkhidmatan awam
perlu sedia mendengar pendapat yang diutarakan rakyat dan menerima kekhilafan
yang dilakukan. Ia perlu dibuktikan dan diterjemahkan dengan proses
penambahbaikan dari semasa ke semasa sama ada pada diri dan organisasi.
Hubungan “penjawat awam – rakyat” yang berdalil dengan prestasi ini akan
menerbitkan nilai hormat yang ikhlas mendasar.
Kelima - Keyakinan. Ia merupakan sikap
percaya atas kemampuan dalam melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan
dengan benar dan bijaksana. Keyakinan dalam setiap usaha dalam perkhidmatan
awam mempunyai kaitan erat dengan sifat amanah. Ia menjadi unsur paling
integriti dalam menjamin ketenteraman masyarakat serta membina jambatan kepercayaan
terhadap penjawat awam.
Keenam - Ihsan. Penjawat awam disaran
senantiasa prihatin peduli terhadap setiap keperluan dan penderitaan
masyarakat. Perasaan ihsan juga merujuk kepada tanggungjawab sosial dalam
menyelami penderitaan dan kemelaratan rakyat. Oleh itu, ia perlu diterjemahkan
kepada usaha berbentuk dasar polisi sebagai jalan penyelesaian paling ampuh.
Nilai Ihsan yang unggul bakal memartabatkan semua anggota masyarakatnya.
Sesungguhnya pelaksanaan Dasar Malaysia
Madani memerlukan kesungguhan dan kerjasama literasi serta lesanggupan tidak
berbelah bahagi seluruh penjawat awam. Ia kerangka yang perlu difahami
sebaiknya berserta dengan segala kekuatan, percanggahan, kekacauan,
keserentakan dan masa hadapan yang menjadi ekosistemnya.
Moga-moga cita-cita suci untuk membangunkan
Malaysia Madani yang dihasratkan adalah tercapai dan memenuhi seluruh ruang impian
dan harapan rakyat Malaysia dapat dicapai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan