Selasa, 2 Jun 2026

PAS DAN KERJASAMA DENGAN PARTI LAIN

 
Kisah 'kahwin, cerai' PAS dengan rakan politiknya boleh dianggap cerita biasa. Jika difikirkan ada keuntungan, maka terus diterima sebagai rakan. Kalau ada masalah, terus dicerai atau dipututskan hubungan.

Setiap kali bergabung dengan parti lain, maka dicari dalil untuk menghalalkan pergabungan itu. Apabila berpisah, maka diberikan alasan yang boleh mempengaruhi minda penyokong bahawa tindakan itu bukan salah pemimpin mereka.

Pendekatan tahaluf siyasi atau perjanjian persefahaman politik diamalkan PAS merentas dan melepasi batas yang diamalkan sebelumnya. Kemudian boleh bertukar pula kepada yang asal.

Inilah dikatakan politik ‘cak kapok ular lidi’. Bergerak ke sana ke mari mencuba nasib. Nampak macam hebat, tetapi bisanya tidak seberapa.

Selepas tragedi 13 Mei 1969, PAS menyertai Parti Perikatan, namun hanya bertahan lima tahun iaitu dari 1972 hingga 1977. Pada 1977, PAS dikeluar daripada Barisan Nasional (BN) ekoran krisis dalaman PAS membabitkan jawatan Menteri Besar Kelantan.

Tindakan 12 daripada 14 Ahli Parlimen PAS menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang dibentang dan diluluskan Parlimen pada 9 November 1977, dilihat kemuncak kepada peristiwa kerjasama mereka itu akhirnya terlerai.

PAS pernah membentuk kerjasama dengan Parti Semangat 46 pada awal 1990-an. Sejarah kerjasama ini menyaksikan kedua-dua parti itu berjaya merampas Kelantan dari BN dan membentuk sebuah kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.

Namun, PAS dan Semangat 46 gagal mengekalkan persefahaman dan hubungan terputus pada 1996. Semangat 46 dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO.

Ketika pembentukan Barisan Alternatif (BA) untuk menghadapi PRU 1999, PAS pernah menjadi sebahagiannya, selain PKR dan DAP.

Namun kerjasama dalam BA itu hanya bertahan kira-kira empat tahun selepas DAP memutuskan menarik diri pada September 2001 setelah tidak bersetuju dengan beberapa tindakan PAS berkaitan negara Islam. Akhirnya, BA dibubarkan pada 2004.

Tiga parti itu sekali lagi membentuk kerjasama di bawah Pakatan Rakyat (PR) selepas berakhir PRU ke-12 pada 2008. Namun, PR hanyalah pada nama. Ia tidak pernah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ketegasan DAP menolak RUU Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 atau lebih dikenali dengan undang-undang hudud, selain penglibatan PKR menyokong calon Parti Amanah Negara (AMANAH) dan menentang PAS dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Jun 2016, menjadi titik tolak kepada perpecahan PR.

Akhirnya, pada 2017, PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP dan Muktamar parti ke-63 yang bersidang di Alor Setar, Kedah ketika itu sebulat suara meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Pasca PRU 2018, PAS dan UMNO sekali lagi membentuk kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN). Namun muafakat yang dibina mula berdepan masalah selepas Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan pada Ogos 2020.

UMNO tidak bersetuju penubuhan PN, sementara PAS pula memilih menyertainya bagi membentuk sebuah parti gabungan.

Langkah diambil PAS ketika itu, berikutan Gagasan Sejahtera dipimpinnya bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) bagi menghadapi PRU 2018 semakin melemah. 

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021, kemudiannya PRN Johor diikuti PRU ke-15 pada 2022, BN memutuskan mengambil pendirian untuk bertanding solo. Sejak itu, MN terus lesu dan hilang.

Kini (ketika rencana ini diterbitkan), PAS kembali bergelut dengan permasalahan dalaman membabitkan parti gabungannya dalam PN iaitu BERSATU. Mungkinkah episod nikah cerai PAS akan berlaku lagi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan