Secara umumnya, fatwa yang dikeluarkan pemimpin PAS
mengkafirkan orang UMNO pada tahun 60-an, 70-an dan 80-an adalah atas alasan
UMNO adalah parti assabiah dan mengadakan kerjasama dengan orang bukan
Islam.
UMNO dituduh parti assabiah atas alasan perkataan Pertubuhan
Kebangsaan Melayu Bersatu yang diterjemah kepada bahasa Inggeris United Malays
National Organisation yang menjadi ringkasan UMNO. Perkataan Kebangsaan Melayu
diterjemahkan oleh PAS sebagai bukti UMNO adalah assabiah.
Hakikatnya, perkataan ‘kebangsaan’ tidak tepat disamakan
dengan ‘assobiah’ dalam Bahasa Arab. Sebaliknya, perkataan ‘kebangsaan’ yang
digunakan dalam UMNO adalah ‘wataniah’, yakni cintakan negara dan bangsa.
Atas maksud Islam mengharamkan assabiah, maka UMNO juga
haram, dan sesiapa menyertai dan menyokongnya juga haram. UMNO juga dituduh
haram disebabkan memisahkan agama dengan urusan politik dan pemerintahan, atau
dipanggil sekular.
Alasan yang digunakan menuduh sekular adalah tidak ada
perkataan ‘Islam’ pada nama UMNO. Sedangkan PAS mengaku parti Islam kerana ada
perkataan ‘Islam’ pada nama parti itu. Inilah dinamakan parti slogan yang
banyak diamalkan dalam PAS.
Orang Melayu yang berpegang kuat kepada fahaman tidak mahu
jadi kafir, biarpun sebenarnya tidak kuat berpegang kepada ajaran agama, mudah
terpengaruh untuk menolak UMNO. Haramnya UMNO bagi golongan ini samalah seperti
haram menyentuh dan memakan daging babi.
Fahaman inilah banyak membantu PAS berjaya menawan Kelantan
pada PRU Pertama tahun 1959, 1964 (kedua), 1969 (ketiga), 1990 (kelapan), 1995
(kesembilan), 1999 (ke 10) dan 2004 kali ke 11.
Pada PRU Keempat yang diadakan tahun 1974, PAS menyertai
Barisan Nasional (BN). PAS keluar daripada BN sebelum pilihan raya kelima yang
diadakan pada tahun 1978.
Persoalannya, mengapakah PAS menerima menyertai BN pada
tahun 1974, sedangkan dalam gabungan itu ada parti bukan Islam? Di
manakah fatwa pemimpin PAS yang mengatakan berkerjasama dengan bukan Islam
sebagai haram dan kafir?
Sepanjang tempoh 1974 hingga 1978, tidak ada kedengaran
fatwa haram berkerjasama dengan bukan Islam kerana PAS sendiri mengadakan
kerjasama dengan orang kafir melalui BN.
Isu orang UMNO kafir timbul kembali apabila PAS keluar dari
BN pada tahun 1978, tetapi dalam nada atau alasan yang sedikit berlainan.
Ketika itu, UMNO dianggap kafir kerana tidak melaksanakan hukum Allah.
Mungkin, pemimpin PAS tidak berani secara terang mengatakan
UMNO haram kerana berkerjasama dengan bukan Islam disebabkan mereka pernah
berada dalam BN.
Bagaimanapun, isu UMNO haram disebabkan berkerjasama dengan
bukan Islam ‘mengganas’ kembali beberapa tahun kemudian. Isu ini terhenti
sekali lagi apabila persiapan PRU Kelapan yang diadakan pada tahun 1990,
apabila PAS yang bergabung dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan
Ummah (APU) turut mengundang mengadakan kerjasama dengan DAP.
Pada PRU Ke 10 yang diadakan pada tahun 1999, PAS semakin
melupai fatwa haram berkerjasama dengan bukan Islam apabila membentuk kerjasama
dalam Barisan Altenatif yang mengandungi DAP, PKR, PBS dan Parti Rakyat
Sosialis Malaysia.
Inilah pemikiran dan dasar yang diamalkan dalam PAS.
Semuanya dilakukan untuk kepentingan politik dan individu. Maknanya, fatwa
dikeluarkan pemimpin PAS dengan sendirinya tertolak, karut dan sekadar gimik
politik. Dalam maksud lain, pemimpin PAS memang tidak layak digelar ulama untuk
mengeluarkan fatwa.
Dari segi bahasa, fatwa adalah keputusan tentang sesuatu
hukum agama (yang belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas al-Quran,
hadis, dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti (atau mereka yang
berwenang tentang keputusan hukum syarak).
Perkataan fatwa yang diguna dalam penulisan ini yang dirujuk
kepada apa yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS tidak membawa erti fatwa yang
sebenar, melainkan sekadar menjelaskan maksud yang diguna dan dipegang oleh
penyokong PAS.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan