Isnin, 26 Oktober 2026

DUA ENAM JAHANAM SUDAH JADI JENERAL

Dua Enam Jahanam sudah jadi jeneral.

Gembira dapat berita seorang lagi daripada kumpulan Enam Jahanam telah dinaikkan ke pangkat brigedier jeneral.

Bermakna dua orang yang masih dalam perkhidmatan tentera sudah sampai satu bintang. Satu pencapaian yang membanggakan.

Pada 1 Mei 1993, enam graduan mengangkat sumpah taat setia sebagai pegawai tentera, ditauliahkan dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkat leftenan.  

Keenam-enam pegawai muda itu ditempatkan di 25 RAMD, Kem Tapah, Perak untuk menjalani latihan orentasi.

Ketika itu, mana-mana calon pegawai yang layak ujian dan temu duga akan terus ditauliahkan sebagai pegawai tanpa mengikuti latihan terlebih dahulu. 

Mereka akan ditempatkan di pasukan atau unit tertentu untuk menunggu jumlah pegawai ‘cukup’ untuk diadakan satu siri latihan.

Enam pegawai tersebut ialah:
- Lt Mohd Faishal Mat Isa (3005916)
- Lt Lokman Ismail (3005917)
- Lt Azlan Mohamad (3005921)
- Lt Muzafar Mansor (3005923)
- Lt. Ahmad Hafizal Hashim (3005924)
- Lt Mohd Haryzal Ismail (3005925)

Disebabkan jumlah enam orang, maka mereka digelar Enam Jahanam. Bukan menjahanamkan atau merosakan, tetapi sekadar gelaran sempena filem arahan P Ramlee, Enam Jahanam.

Biarpun konotasi Enam Jahanam membawa maksud tidak baik, tetapi itu identiti itu dikenali dan disebut sehingga sekarang biarpun masa telah berlalu 33 tahun.

Mereka mengikuti Kursus Pegawai Graduan Siri 11 di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi selama tujuh bulan bermula 24 September 1993 hingga 30 April 1994.

Tamat latihan, mereka melaporkan diri di pasukan masing-masing dan bermulalah cabaran tugas sebagai pegawai muda.

Pada 1 Mei 2000 dua Enam Jahanam menamatkan perkhidmatan setelah tamat tujuh tahun. Mereka ketika itu berpangkat kapten iaitu Mohd Faishal bin Mat Isa dan Lokman bin Ismail.

Empat Enam Jahanam meneruskan perkhidmatan dan menerima kenaikan pangkat selayaknya. Namun, dua yang berpangkat leftenan kolonel menamatkan perkhidmatan apabila tamat tempohnya iaitu Azlan bin Mohamad dan Muzafar bin Mansor.

Kini, tinggal dua Enam Jahanam yang masih dalam perkhidmatan iaitu Brig, Jen Ahmad Hafizal bin Hashim dan Brig Jen Mohd Haryzal bin Ismail. Mereka masih berbaki beberapa tahun lagi sebelum menamatkan perkhidmatan.

Hafizal kini Panglima 13 Briged dan Haryzal pula menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Perancang Strategik Markas ATM.

Gambar - Mohd Haryzal (kiri),  Ahmad Hafizal (kanan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan