Rabu, 28 Oktober 2026

DITAWARKAN TEMAN SOSIAL DI HADAPAN HOTEL

 
Ditawarkan teman sosial di hadapan hotel.

Kisah berlaku Mac 1995. Pada bulan tersebut, ambo dari Kota Kinabalu ke Kuching untuk menduduki peperiksaan kenaikan pangkat daripada leftenan ke kapten.

Peperiksaan itu melibatkan calon-calon dari Sabah dan Sarawak. Kami ditempatkan di Hotel Riverside Majistic, Jalan Tunku Abdul Rahman, berhampiran Kuching Waterfront.

Kuching Waterfront baru secara rasminya dibuka pada tahun 1993. Jadi, ketika ambo ke situ, ia dikira masih baru lagi dan meriah dengan pengunjung menikmati suasana malam dengan lampu berwarna warni.

Aktiviti berkaitan peperiksaan hanya diadakan pada siang hari. Pada waktu malam banyak ruang kosong. Begitu pun, ambo tidak "langkah luas", sekadar berada di hadapan kawasan hotel sahaja sebelum masuk tidur.

Pada malam pertama, ketika berada di tangga hotel, ambo dihampiri seorang lelaki berwatak sopan dan ramah. Dia mengucapkan salam dan menghulurkan tangan untuk bersalam.

Dia bertanya khabar. Ketika itu ambo tertanya-tanya siapakah dia. Adakah dia kawan sekolah dahulu berasal dari Sarawak, bersekolah di Sekolah Menengah Putera dan Sekoleh Menengah Ismail Petra, Kota Bharu, iaitu Fadli, Eric dan Jilan.

Atau mungkinkah dia sahabat yang dikenali di tempat-tempat lain.

Dalam ambo tengah cuba mengingati itu, dia beritahu niat hendak tolong. Katanya dia ada menyediakan khidmat teman sosial di kalangan perempuan-perempuan pelbagai bangsa dan peringkat umur. Boleh pilih mana yang berkenan.

Mendengarkan itu, ambo terus menolak. Dia mengucapkan maaf kerana mengganggu dan terus berlalu.

Malam kedua, di tempat sama dan masa hampir sama, orang yang sama datang dengan cara dan kaedah yang sama menawarkan perkara yang sama.

Kali ini ambo melayan dia. Bertanya tentang perempuan yang ditawarkan. Memang dengan ramah dan mesranya dia menceritakan dan menjawab setiap soalan yang ambo ajukan.

Bila dia sebut harga yang perlu dibayar sekitar RM200 hingga RM300 untuk perkhidmatan yang disediakan, ambo bertanya adakah yang harga RM10.

Dia agak terkejut, tetapi masih tenang dan ramah melayang. Katanya, mana ada harga tersebut. Paling kurangpun RM100.

Ambo cakap mana ada wang sebanyak RM100. Dia kata takkan duduk di hotel lima bintang, tetapi tidak ada duit.

Ambo jawab, semua kos hotel ditanggung kerajaan, termasuk pengangkutan. Hendak ke mana-manapun ada kenderaan akan ambil dan hantar. Duit dalam poket ada RM10 sahaja. Duit dalam bank pun dah kering.

Dia sudah hilang idea untuk terus menawarkan teman sosial tu. Namun masih berpewatakan sopan. Dia minta diri dan berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih.

Satu perkara yang ambo belajar. Kalau kita hendak mendapat untung, pertolongan dan kebaikan, hendaklah dengan cara sopan dan mesra. Kalau orang tidak mahu, jangan mudah melatah, memaksa atau marah-marah. Tetap sabar dan tinggalkan kawasan itu.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan