Khamis, 26 November 2026

LAPOR DIRI DI PASUKAN PADA HARI RAYA

 
Lapor diri di pasukan pada hari raya.

Dalam tentera jangan fikir tentang patut atau tidak patut kerana semua jawaban adalah patut. Jangan persoal apa yang telah ditakdirkan.

Tidak perlu mencari rasional atau dalih. Ikut sahaja arahan.

Selepas tamat Kursus Pegawai Graduan Siri 11/93 di Maktab Tentera Diraja (MTD) Kem Sungai Besi pada 30 April 1994, semua pegawai diberi cuti dan persiapan untuk melapor diri ke pasukan masing-masing.

Ambo (saya) dikehendaki melapor diri ke Batalion Keenam Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) di Kem Lok Kawi, Sabah.

Sebenarnya ambo bukan baru dipindahkan atau ditempatkan ke 16 RAMD. Nama ambo sudah menjadi kekuatan di 16 RAMD sejak tarikh 01 Mei 1993 lagi, tetapi tidak pernah melapor diri secara fizikal ke pasukan.

Selepas angkat sumpah taat setia, terus dihantar menjalani orentasi di Batalion Kedua Puluh Lima Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) di Kem Tapah, Perak, sebelum mengikuti Kursus Pegawai Graduan Siri 11/93 bermula 24 Septermber 1993 sehingga 30 April 1994.

Tarikh penerbangan adalah pada 19 Mei 1994. Dari Kota Bharu, ambo bermalam di rumah kakak ipar di Bukit Idaman, Selayang. Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang sekitar 10 malam.

Sekitar selepas Maghrib, ambo turun rumah dengan beg besar. Ada jiran bertanya, balik raya kampung ke? Masa tu takbir raya sedang berkumandang. Sabar ajelah.

Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah 1414H adalah pada 20 Mei 1994. Tarikh malam 19 Mei 1994 yang ambo bertolak dari rumah kakak ipar ke lapangan terbang itu adalah masa baru masuk atau bermula 10 Zulhijjah, apabila masuk waktu Maghrib.

Itulah pengorbanan pertama ambo dalam tentera sempena Hari Raya Korban 1414 Hijrah. Melapor diri pada malam Aidiladha di satu tempat yang pertama kali ambo jejak kaki di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu.

Kalau difikir-fikirkan, tidak bolehkan ditangguh melapor diri itu untuk beberapa hari? Tetapi, itu yang dikatakan awal-awal tadi, jangan difikir atau ditanya tentang lojiknya.

Gambar sekadar hiasan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan