Jumaat, 27 November 2026

KALI PERTAMA OPERASI TERUS BUAT TUGAS KETUA KOMPENI

 
Kali pertama operasi terus buat tugas ketua kompeni.

Kali pertama ambo (saya) masuk operasi semasa bertugas di Batalion Keenam Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) ialah sekitar akhir Julai 1994, iaitu setelah melapor diri kira-kira dua bulan.

Operasi tersebut dipanggil Ops Pasir. Kawasan tanggungjawab ialah di kawasan pantai dan pulau-pulau di Pantai Timur, Sabah.

Pada awalnya ketika pergerakan kumpulan utama ke kawasan tanggungjawab, ambo tidak terlibat dalam operasi tersebut. Sebaliknya ditinggalkan sebagai kumpulan tinggal belakang dan ditugaskan sebagai ajutan.

Itulah kali pertama ambo ditugaskan sebagai ajutan. Kelam kabut satu markas batalion apabila serba tidak kena hendak buat apa. Nasib baik ketua kerani dan anggota lain banyak membantu.

Tiga minggu kemudian, ada pegawai yang perlu pulang ke Kem Lok Kawi kerana akan mengikuti kursus.

Jadi, ambo dihantar menggantikan dia di Kem Kudat yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Kudat. Tugas ambo adalah menjadi ketua petempatan di kem tersebut yang juga bertanggungjawab dalam tugasan proses ulang bekal setiap dua minggu kepada petempatan di pangkalan hadapan.

Sempatlah ambo bergerak ke setiap lokasi petempatan hadapan, tetapi setakat turun sekejap dan terus terbang ke lokasi lain pula, atau kembali semula ke Kudat untuk mengambil bekalan seterusnya.

Tiga minggu di Kudat, ambo menerima arahan untuk bergerak pula ke Pulau Jambongan untuk menjalankan tugas sebagai ketua kompeni disebabkan ketua kompeni perlu pulang ke Kem Lok Kawi kerana ditugaskan sebagai ketua perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan 1994.

Bayangkan kali pertama masuk operasi terus menjalankan tugas sebagai ketua kompeni. Sekali lagi ambo mengalami kejutan tugas. Seperti diharapkan, ambo banyak dibantu oleh kompeni sarjan mejar (KSM) serta Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK).

Pasukan yang menggantikan tugas operasi Ops Pasir selepas itu adalah Pasukan Gerakan Am (PGA). Anggota PGA diketuai Inspektor Zainuddin datang tiga atau empat hari sebelum tentera meninggalkan kawasan tersebut.

Sempatlah ambo bergerak ke beberapa petempatan dan kampung yang ada di Pulau Jambongan bersama-sama anggota PGA.

Ambo dan anggota 16 RAMD meninggalkan Pulau Jambongan melalui dua sorti penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Sandakan sebelum menaiki trak 3 ton menunju ke Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

Namun, keesokan hari yang sepatutnya mereka pulang ke kem, lain pula jadinya. Kisah ini mungkin ambo akan cerita lain kali.

Gambar - Di Kem Kudat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan