Rabu, 18 November 2026

DOGPY TURUT SERTA UJIAN JALAN LAJU

 
Dogpy turut serta ujian jalan laju.

Ini kisah semasa menjadi tentera dahulu. Bukan kisah menarik sangat, tetapi tiba-tiba ingatkan kisah itu apabila melihat gambar di FB Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat yang menampakkan seekor anjing turut bersama anggota dalam Ujian Jalan Laju 15 kilometer.

Dahulu masa bertugas di Batalion Keenam Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD), Kem Desa Pahlawan, ada seekor anjing liar berkurap penuh badan merayau di kawasan flat.

Anjing itu diberi nama Dogpy. Yang beri nama tu isteri aku. Ia gabungan nama ‘dog’ (anjing) dan ‘py’ yang sekadar tambahan kepada ‘dog’. Maka jadilah Dogpy.

Dogpy asalnya anjing kurap. Anjing jalanan yang merayau-rayau di kawasan perumahan tentera Kem Desa Pahlawan. Kawasan Dogpy merayau termasuklah di kawasan flat tempat aku tinggal.

Masa mula-mula Dogpy datang, aku buat tak tahu aje. Sekadar anjing jalanan. Dah tu, penuh dengan kurap. Hampir tidak ada bulu langsung. Menjijikkan.

Kawasan kem memang banyak anjing liar berkeliaran. Anjing-anjing itu berasal dari kawasan perkuburan Cina berhampiran kawasan kem yang dipanggil Tanah Perkuburan Cina Bukit Cina.  

Pada satu petang, ketika aku dan rakan seflat membuat persiapan majlis berbuka puasa, Dogpy datang dekat. Mulanya dihalau. Tetapi, rasa kasihan pula. Nampak sangat Dogpy lapar. Lalu, dicampakkan sedikit juadah yang sepatutnya dijadikan hidangan masa berbuka nanti. 

Selepas, berbuka dan berkemas, Dogpy datang lagi. Masa tu ada banyak lebihan makan. Maka dicampakkan lagi kepada Dogpy. Dimakannya dengan banyak. Nampak sangat Dogpy lapar dan terus makan. 

Pagi esoknya, Dogpy kelihatan masih berada di tempat diletakkan makanan untuknya itu, biarpun yang ada hanyalah sisa-sisa yang semakin berkurangan. Mungkin Dogpy tidur di situ atau kembali semula pada paginya. 

Memandangkan ada lebihan semasa bersahur, aku ambilkan sedikit untuk Dogpy. Dan begitulah untuk hari-hari seterusnya. 

Dogpy yang asalnya dipenuhi kurap dan tidak berbulu, sudah semakin sihat. Kurap telah mula hilang daripada tubuhnya, sedangkan bulu mula tumbuh. Dogpy jenis anjing berbulu lebat.

Hubungan aku dengan Dogpy semakin akrab. Bermula dari situlah sebenarnya diberikan nama Dogpy. 

Tidak mengambil masa yang lama, Dogpy tahu namanya dipanggil. Jadi, mudahlah aku mencampakkan makanan dari tingkat dua. 

Panggil sahaja namanya, Dogpy akan berlari-lari mendapatkan makanan yang diberikan kepadanya. 

Kadang-kadang aku akan membawa turun makanan untuk diberikan kepada Dogpy. Dogpy semakin jinak dan sentiasa berada berhampiran dengan flat. 

Waktu pagi aku hendak kerja, Dogpy akan menunggu di bahagian bawah. Ada beberapa kali, Dagpy tunggu di hadapan pintu rumah di tingkat dua.

Tetapi apabila beberapa kali dimarah, Dogpy tidak naik lagi ke tingkat dua, sebaliknya tunggu di bahagian bawah sahaja. 

Dogpy yang asalnya merayau-rayau mencari makan, kini sudah ada tempat untuk mendapatkan makanan. Tetapi, sifat merayau-rayau bergerak bebas di kawasan kem masih diteruskan.

Dogpy akan kembali dan tidur ke kawasan bawah flat.

Jalan di kawasan flat itu sering dijadikan laluan untuk latihan berjalan laju. Dogpy yang kenal ambo akan menghampiri dan ikut sama berjalan atau berlari.

Biasanya latihan itu hanya melibatkan kawasan kem dan flat kediaman. Jadi, tidak ada masalah untuk Dogpy ikut dan bebas bergerak ke mana hendak pergi selepas itu.

Satu kali tu latihan atau Ujian Jalan Laju 15 kilometer. Bermula dari padang kawad rejimen, kemudian melalui jalan-jalan di kawasan Kem Desa Pahlawan, sehingga keluar kawasan kem untuk mencukupkan jumlah 15 kilometer.

Ketika melalui kawasa flat, Dogpy perasan akan keberadaan aku dalam kelompok tentera itu, mula ikut berjalan bersama-sama.

Apabila hampir dengan pintu pagar untuk keluar kem, aku beri arahan agar Dogpy tidak terus ikut atau kembali semula.

Tetapi Dopyg tidak hirau arahan itu. Dogpy terus ikut sama. Bergerak tidak jauh dari aku atau sesekali tidak dapat dilihat di mana berada, tetapi kemudian datang dekat semula.

Perjalanan itu melalui beberapa kawasan kampung dan taman perumahan. Dogpy terus setia berjalan bersama-sama.

Apabila melalui jalan utama Kota Bharu-Kuala Krai sebelum masuk semula ke pintu utama Kem Desa Pahlawan, Dogpy mula hilang. Tidak dapat dikesan. Rungsing juga kalau sukar untuk melintas jalan utama.

Namun aku yakin Dogpy akan selamat dan tidak akan sesat.

Memang betul, apabila aku sampai di hadapan Markas Rejimen sebelum memasuki padang kawad, tempat berakhir ujian, Dogpy sudah menunggu di situ.

Lega rasanya. Dogpy lulus Ujian Jalan Laju 15 kilometer.

Gambar FB Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan