Naik Gunung Kinabalu iringi Pengarah Infantri.
Anggota tentera, tidak kira pegawai mahupun lain-lain pangkat
(LLP) kena sentiasa bersedia untuk menerima tugasan atau arahan. Tiada ada
istilah tidak boleh atau menolak. Terima dahulu dan kemudian baru fikir macam
mana hendak buat.
Kisah ini sebenarnya biasa-biasa sahaja, tetapi menjadi satu
kenangan apabila membaca berita atau melihat gambar berkaitan Gunung Kinabalu.
Kisahnya berlaku 29 Ogos 1995. Ketika makan lewat malam
(supper) di markas batalion, tiba-tiba pegawai memerintah menyebut nama ambo
(saya) diarahkan turut serta dalam kembara berjalan kaki (hiking) ke puncak
Gunung Kinabalu.
Kembara berjalan kaki (banyak orang menyebut mendaki) Gunung
Kinabalu itu adalah sempena Orentasi Pegawai Muda Tauliah Jangka Pendek 59 (TJP
59) yang dtauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer
Diraja (RRD) yang diadakan di 16 RAMD, Kem Lok Kawi, Sabah.
Ambo tidak pasti mengapa nama dimasukkan dalam senarai pada
saat akhir, sedangkan beberapa nama pegawai daripada 16 RAMD telah disenaraikan
beberapa hari sebelum itu dan sepanjang aktiviti orentasi itu juga ambo tidak
terlibat langsung.
Seperti diarahkan, pagi esok (30 Ogos 1995) ambo menaiki
kenderaan bersama Pengarah Infantri, Pegawai Memerintah, Ketua Kompeni dan
Pegawai Gaji, serta pegawai yang mengikuti orentasi bergerak ke kaki Gunung
Kinabalu.
Ketika memulakan kembara berjalan kaki, pergerakan dalam kumpulan
besar. Ketika itulah ambo baru dapat mengagak tugas yang perlu dilakukan dan
mengapa nama dimasukkan pada saat akhir.
Ambo diarahkan untuk berada bersama-sama pengarah sepanjang
kembara.
Arahan rasmi dan lebih jelas dinyatakan oleh Pegawai
Memerintah ketika berhenti sekejap di wakaf pertama.
"Sepanjang masa engkau kena berada bersama pengarah. Kalau
dia berhenti, engkau pun kena berhenti. Kalau dia sampai ke Panalaban, engkau
pun sampai. Kalau dia tidak sampai, engkau pun tidak sampai", pegawai memerintah
beri arahan.
Akur pada perintah, itulah yang ambo lakukan. Perjalanan
memang perlahan. Ambo bersama pengarah adalah orang terakhir atau terbelakang
daripada semua yang kembara hari itu, termasuk di kalangan orang awam.
Ketika itulah ambo rasa macam rapat dengan pengarah. Berjalan
bersama dan duduk bersama dalam jarak yang dekat. Pengarah berkongsi coklat
yang dibawanya dengan ambo. Katanya, coklat pembekal tenaga cepat.
Sebagai pegawai muda, peluang itu dirasakan amat berharga.
Biasanya pegawai muda hendak bercakap dengan kapten pun sudah rasa kekok.
Pengarah Infantri ketika itu berpangkat kolonel (sekarang brigedier
jeneral). Ambo yang ketika itu berpangkat leftenan perlu naik pangkat kapten,
mejar dan leftenan kolonel sebelum capai pangkat kolonel. Jauh sangat dirasakan
perbezaannya.
Pengarah dan ambo sampai di Panalaban mengambil masa kira-kira
enam jam setelah berjalan melangkah sejauh enam kilometer, berada di ketinggian
3272 meter dari aras laut.
Pegawai muda lain ada yang mengambil masa kembara hanya dua
jam sahaja untuk sampai ke Panalaban.
Pengembara perlu bermalam di Panalaban sebelum meneruskan ke
puncak pada awal pagi keesokan untuk sampai di titik tertinggi 4,095 di Low's
Peak.
Gambar - Berada di puncak Low's Peak.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan