Selasa, 27 Oktober 2020

Ketegasan UMNO menolak kerjasama dengan Anwar

Suhu politik negara menjadi tidak menentu muktakhir ini sama dengan ancaman Covid-19 yang graf jumlah kes turun naik setiap hari. Sukar untuk meramal aktiviti politik kerana ia berkaitan sikap individu pemimpin politik itu sendiri.

Namun, kematangan politik secara parti dilihat sedikit sebanyak mampu mengawal keadaan. Inilah yang diterjemahkan oleh kepimpinan UMNO apabila membuat keputusan bersama melalui saluran yang betul.

Ketika seluruh ahli dan pemerhati politik ternanti-nanti hala tuju UMNO dalam mendepani kemelut politik dan kepimpinan negara, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti terbesar Melayu itu membuat beberapa ketetapan setelah bermesyuarat pada 26 Oktober 2020.

Antara ketetapan yang melegakan ahli akar umbi ialah penegasan bahawa UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP.

Tinjauan pendapat di kalangan ahli akar umbi sememangnya amat berharap agar kepimpinan UMNO terus mempertahankan prinsip tidak mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan PKR dan DAP dalam urusan pentadbiran negara.

Pada hari sama, sebelum mesyuarat MKT ada pertemuan dan perbincangan melibatkan ahli parlimen dari UMNO. Heboh kononnya ada cadangan agar UMNO mengadakan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dilaporkan cadangan itu dibantah majoriti ahli parlimen UMNO dan paling lantang membantah seperti yang dilaporkan media ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang secara konsisten mempertahankan tiga prinsip asas UMNO dan BN iaitu 'No DAP, No Anwar' dan keputusan harus secara en-bloc.

Ismail Sabri tegas menyatakan bahawa en-bloc bermaksud keputusan yang dibuat haruslah secara bersama, bukan hanya semata-mata sokongan individu.

Tindakan Ismail Sabri itu dikatakan antara yang mempengaruhi ahli MKT membuat ketetapan mempertahankan prinsip tidak mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan PKR dan DAP dalam urusan pentadbiran negara.

Ketegasan Ismail Sabri terus mendapat ucapan terima kasih dan sokongan ahli akar umbi.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan