Isnin, 12 Oktober 2020

PERTANIAN BANDAR SATU USAHA MENJANA EKONOMI

Banyak orang beranggapan usaha bercucuk tanam hanya sesuai dilakukan penduduk di kampung atau memiliki kawasan tanah yang luas. Anggapan tersebut tidak tepat kerana usaha menanam, khususnya sayur-sayuran dapat dilakukan di kawasan laman rumah biarpun sempit.

Justeru, kerajaan memperkenalkan Program Pertanian Bandar bertujuan membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian daripada bahan makanan yang diperlukan melalui bimbingan Jabatan Pertanian.

Program ini melibatkan penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai Jabatan dan Agensi yang berkaitan di peringkat Negeri dan Persekutuan.

Pengintegrasian pertanian dalam perancangan dan pembangunan perbandaran adalah penting untuk pembangunan mampan dari segi pelbagai aspek kehidupan dan keperluan kehidupan bandar termasuk bekalan bahan makanan, penghijauan persekitaran, pengurusan air dan bahan buangan bandar, pendidikan serta riadah.

Antara lain objektif program tersebut bertujuan menggalakkan penduduk setempat untuk menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan bagi menampung keperluan harian serta mengurangkan kos sara hidup.

Ia juga dapat menambahkan pendapatan sampingan komuniti bandar melalui lebihan pengeluaran hasil pertanian.

Selain itu, aktiviti pertanian bandar dapat menyokong usaha Kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan Negara.

Seterusnya, ia dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap kepentingan pertanian sebagai penyumbang terus kepada kesejahteraan serta keceriaan persekitaran komuniti bandar.

Aktiviti berkebun dapat mewujudkan rutin berjadual pagi dan petang yang berkualiti selain membantunya meraih pendapatan daripada jualan tanaman herba dan sayuran. Ini penting sebagai sebahagian aktiviti sihat, terutama golongan yang sudah pencen sedangkan masih mampu melakukan aktiviti ringan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan