Jumaat, 8 Januari 2021

ANGGOTA ATM MEMBANTU MANGSA BANJIR

Peranan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak hanya sebagai barisan hadapan menjaga keselamatan negara menentang musuh. Fungsi dan peranan anggota ATM amat luas, terutama dalam membantu rakyat semasa dalam kecemasan dan bencana.

Tentera Darat (TD) yang menjadi tonggak kepada ATM mempunyai 16 rejimen dan kor yang mampu menjadi barisan hadapan dalam apa juga suasana, terutama ketika negara berdepan bencana.

Setiap rejimen dan kor mempunyai kepakaran masing-masing untuk diaturgerak ke mana-mana dan bila-bila masa sahaja biarpun dalam keadaan sukar dan mencabar, termasuk ketika bencana banjir yang melanda negara sekarang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keanggotaan dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan bersiap siaga dan ketika ini 5,000 anggota tentera telah digerakkan secara berperingkat selain aset seperti jentera berat, bot dan helikopter ke kawasan terjejas akibat banjir.

Beliau ditemui ketika meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan sementara jenis 'Compact Bailey 200' oleh 91 Rejimen Bantuan dari Rejiman Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Pembinaan jambatan sementara itu diperlukan setelah jambatan asal runtuh akibat hakisan tebing Sungai Dong kesan laluan air laju yang berlaku.  

Jambatan tersebut menghubungkan jalan antara Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong dan bandar Raub.  

Penduduk terputus hubungan selama lima hari kerana jambatan tersebut adalah satu-satunya laluan terdekat yang ada. Laluan sedia ada mengambil jarak agak jauh.

Menurut Ismail Sabri, jambatan sepanjang 26 meter dan lebar 7.35 meter itu mengambil masa antara lapan hingga 12 jam, melibatkan 50 anggota bertugas secara berterusan dari mula sehingga tugas berkenaan selesai.

Tambah Ismail Sabri, biarpun jambatan itu berstatus sementera dan dibina dalam tempoh singkat, penduduk tidak perlu bimbang kerana jambatan ini boleh menanggung berat sehingga 60 tan.

"Jambatan ini akan terus digunakan sehingga jambatan baharu yang kekal siap dibina," katanya.

Jambatan sementara itu memberi manfaatkan kepada 500 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Ismail Sabri berkata, perancangan untuk jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang runtuh akan mula dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Pahang pada Februari ini.

GAMBAR: Datuk Seri Ismail Sabri (tengah) hadir meninjau pemasangan Jambatan Compact Bailey 200. - Gambar Bernama

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan