Selasa, 22 Februari 2022

ANJING KURAP JADI KAWAN SETIA - SIRI 2

 
Dogpy memang anjing kurap. Menjijikkan. Namun, Dogpy tidak pernah membawa kurap menyusahkan orang lain.

Dogpy sembuh dengan semangat agar ia dapat memberi khidmat kepada orang membantunya. Dogpy tahu mengenang budi dan membalas kebaikan dengan kebaikan.  

Berdasarkan pengalaman ambo dengan Dogpy, mana lojiknya ada peribahasa ‘seperti melepaskan anjing tersempit’. Dogpy tidak begitu.

Tanpa diajar atau disuruh, Dogpy berkhidmat menjaga kawasan flat tempat ambo tinggal daripada ‘diganggu’ orang lain.

Mana-mana orang asing yang masuk ke kawasan itu akan disalak seperti menghalang daripada memasuki dan mendekati kawasan flat.

Dogpy akan berhenti menyalak apabila ambo menunjukkan muka dan menghampiri tetamu yang datang.

Dogpy akan bertukar menjadi normal dan seperti menghormati tetamu apabila mengetahui individu itu tetamu atau ada urusan bertemu dengan ambo.

Memandangkan kebanyakan tetamu yang hadir ke flat tempat ambo tinggal memakai uniform askar, maka Dogpy tidak lagi menyalak kepada anggota tentera kerana faham yang datang itu adalah tetamu ambo dan datang dengan niat baik.

Apa sedikit bermasalah ialah apabila ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) datang bertemu isteri ambo dan jiran. Memang akan disalak oleh Dogpy.

Namun, setelah isteri ambo keluar dan tenangkan Dogpy, ia akan segera berhenti menyalak. Menariknya, Dogpy akan cepat mengenali tetamu itu. Jika datang pada hari-hari lain, Dogpy tidak akan menyalak lagi kepada tetamu itu.

Itulah sikap Dogpy. Tahu membalas kebaikan yang ambo lakukan kepadanya. Biarpun sekadar memberi sisa makanan dan jarang-jarang sekali makanan yang disediakan khas untuknya, Dogpy menghargainya dan membalas dengan kebaikan mengikut cara dan kemampuan sifatnya.

Menariknya, Dogpy juga akan menyalak dan menghalau anjing-anjing lain yang ingin mendekati kawasan flat. Perkara itu dilakukan setelah Dogpy melihat ambo menghalau anjing lain mendekati kawasan flat.

Dogpy sanggup memusuhi binatang sejenisnya semata-mata ingin menunjukkan kesetiaan dan berbakti kepada ambo.

Siri yang berkaitan:

 .... akan bersambung.....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan