Isnin, 21 Februari 2022

ANJING KURAP MENJADI KAWAN SETIA

 
Anjing ini diberi nama Dogpy. Yang beri nama tu isteri ambo. Ia gabungan nama ‘dog’ (anjing) dan ‘py’ yang sekadar tambahan kepada ‘dog’. Maka jadilah Dogpy.

Dogpy asalnya anjing kurap. Anjing jalanan yang merayau-rayau di kawasan perumahan tentera Kem Desa Pahlawan. Kawasan Dogpy merayau termasuklah di kawasan flat tempat ambo tinggal.

Masa mula-mula Dogpy datang, ambo buat tak tahu aje. Sekadar anjing jalanan. Dah tu, penuh dengan kurap. Hampir tidak ada bulu langsung. Menjijikkan.

Namun, pada satu petang, ketika ambo dan rakan seflat membuat persiapan majlis berbuka puasa, Dogpy datang dekat. Mulanya dihalau. Tetapi, rasa kasihan pula. Nampak sangat Dogpy lapar. Lalu, dicampakkan sedikit juadah yang sepatutnya dijadikan hidangan masa berbuka nanti.

Selepas, berbuka dan berkemas, Dogpy datang lagi. Masa tu ada banyak lebihan makan. Maka dicampakkan lagi kepada Dogpy. Dimakannya dengan banyak. Nampak sangat Dogpy lapar dan terus makan.

Pagi esoknya, Dogpy kelihatan masih berada di tempat diletakkan makanan untuknya itu, biarpun yang ada hanyalah sisa-sisa yang semakin berkurangan. Mungkin Dogpy tidur di situ atau kembali semula pada paginya. 

Memandangkan ada lebihan semasa bersahur, ambo ambilkan sedikit untuk Dogpy. Dan begitulah untuk hari-hari seterusnya.

Dogpy yang asalnya dipenuhi kurap dan tidak berbulu, sudah semakin sihat. Kurap telah mula hilang daripada tubuhnya, sedangkan bulu mula tumbuh.

Hubungan ambo dengan Dogpy semakin akrab. Bermula dari situlah sebenarnya diberikan nama Dogpy.

Tidak mengambil masa yang lama, Dogpy tahu namanya dipanggil. Jadi, mudahlah ambo mencampakkan makanan dari tingkat dua. Panggil sahaja namanya, Dogpy akan berlari-lari mendapatkan makanan yang diberikan kepadanya.

Kadang-kadang ambo akan membawa turun makanan untuk diberikan kepada Dogpy.

Dogpy yang asalnya merayau-rayau mencari makan, kini sudah ada tempat untuk mendapatkan makanan. Tetapi, sifat merayau-rayau bergerak bebas di kawasan kem masih diteruskan.

Dogpy akan berlari mengikut ambo, sama ada bermotosikal atau berkereta, sampai ke tempat bertugas di Batalion Keenam belas Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah.

Dan, Dogpy biasanya tahu masa ambo tamat bertugas. Jadi, Dogpy akan menunggu di hadapan Markas Batalion. Apabila ambo bergerak balik, Dogpy akan berlari mengikut ambo sampai ke rumah.

Kerana sudah dikenali di kalangan anggota 16 RAMD, maka Dogpy lebih dikenali sebagai ‘anjing ajutan’. Tiada lagi yang akan menghalau atau melontar batu ke arahnya. Masa tu ambo bertugas sebagai Ajutan 16 RAMD, tahun 1996.

Apabila Dogpy sudah berada di hadapan Markas Batalion, akan ada anggota beritahu tentang kedatangan Dogpy, yang juga bermaksud telah tiba masa untuk ambo balik.


Siri berkaitan:

2 ulasan:

  1. Comel anjing tu. Berbaloi tuan jaga dia. Hikmah pasti ada disebalik kebaikan atas kebaikan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul tu... berbuat baik kepada binatang juga suruhan agama

      Padam