Selasa, 8 Mac 2022

CINA BANTU AKTIVITI CAKNA ASNAF KELANTAN

Citra hubungan kaum di Kelantan agak unik, berjalan dengan harmoni, tolong menolong dan saling menghormati.

Catatan ini dinukilkan secara sepintas lalu mengingatkan aktiviti di Program Berkhatan anjuran Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan melibatkan kanak-kanak dari pulau-pulau di delta Sungai Kelantan. Program diadakan di Sri Tanjung, Pulau Renjuna.

Semasa program, ambo melihat ada seorang wanita tidak bertudung, berbaju T dan bertopi. Terdetik juga di hati, siapa dia ni?

Namun, menjadi dasar ambo tidak kisah sangat tentang orang lain. Ambo datang ke program itu pun sekadar untuk mengambil gambar dan mungkin boleh membantu apa yang patut.

Ingatan terhadap wanit itu kembali menerjah ke minda ambo apabila dalam kumpulan WhatsApp ada menyebut mengenainya.

Tahulah ambo bahawa dia adalah keturunan Cina dan bukan beragama Islam.

Inilah yang ambo katakan uniknya hubungan kaum di Kelantan. Orang bukan Islam boleh berada di majlis anjuran satu pertubuhan yang nyata dan jelas lebih kepada membantu orang Islam. Dia turut membantu menjayakan majlis tersebut dan satu-satunya bukan Islam yang turut hadir.

Dia kelihatan tidak kekok untuk bersama-sama melakukan apa yang dilakukan oleh orang lain.

Ambo melihat kembali gambar yang dirakamkan untuk mencari mana tahu ada wajahnya. Malangnya, tidak pula ada.

Hanya ada sekeping gambar untuk menjadi ‘bukti; dia datang ke majlis tersebut ialah ‘wajah’ dari arah belakang ketika dia bersama-sama menyambut ketibaan kanak-kanak yang akan dikhatankan.

Dia dikhabarkan menyatakan kesediaan untuk terus bersama-sama dalam program dianjurkan oleh Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan, biarpun tahu ia berkaitan membantu orang Islam.

Tan Kim Soon

Tiada ulasan:

Catat Ulasan