Jumaat, 18 Mac 2022

PERMULAAN KENAL ROSLAN PULAU SERATUS

 
Bagaimana ambo kenal atau mula mengenali Roslan Ismail atau juga dikenali Lan Pulau Seratus? Ambo di Padang Bongor dan dia di Pulau Seratus...

Kisahnya bermula tahun 2003. Hampir 20 tahun lalu. Pertemuan pertama di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Kelantan (Wisma Kota Bharu). Masa tu kami sama-sama menganggotai jawatankuasa Hari Jantung Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan.

Masa tu, Roslan atau Abe Lan masih boleh berjalan biarpun tidak stabil. Sekarang ini pergerakan Abe Lan (sebenarnya ambo lebih tua) semakin terbatas. Hanya mampu merangkak untuk bergerak.

Masa mula berjumpa tu agak kagum juga. Dia yang dikategori orang kelainan upaya (OKU) bersungguh-sungguh untuk turut serta sebagai jawatankuasa.

Bukan mudah untuk dia berulang-alik untuk beberapa kali bermesyuarat dan persiapa program. Dia perlu menggunakan bot dari Pulau Seratus menuju Jeti Kok Majid. Kemudian menaiki bas sehingga Stesen Bas Kota Bharu. Dari situ dia akan diambil Abe Jeff dengan menggunakan motosikal. Seterusnya menuju ke Wisma Kota Bharu.

Namun, semangatnya tidak tergugat langsung untuk bersama-sama menjayakan Program Hari Jantung Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan.

Itu permulaan ambo kenal Abe Lan. Lepas tu ada juga berjumpa dengannya dalam program lain, namun tidak berpeluang untuk berbual lama atau hanya sekadar bertegur sapa. Selain tu ambo mengikuti perkembangan dirinya melalui media yang ada melaporkan tentang aktivitinya, dalam sekali-kali menjenguk di media sosial.

Ambo kembali rapat dengan Abe Lan apabila ada rakaman televisyen untuk program Hati Emas terbitan salah satu saluran televisyen utama di negara kita.

Ambo sekadar memerhati rakam itu. Tidak menjadi ‘pelakon’ biarpun dijemput sama untuk jadi kaki sibuk.

Rakaman dibuat di rumah Datuk Ilani Ishak (Allahyarham) bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu adalah sebagai tambahan kepada rakaman yang telah dibuat di Pulau Seratus dan beberapa lokasi lain di pulau-pulau delta Sungai Kelantan.

Selepas rakaman, ambo bersama rakan lain iaitu Abe Jeff, Mohd Jurik, Nasaruddin, Badarudin dan Fazliyaton (Pengerusi Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan) dan turut serta isteri ambo, ‘menghantar’ Abe Lan sehingga ke rumahnya di Pulau Seratus. Naii botlah kami semua.

Bermula dari situ jugalah hubungan dengan Abe Lan kembali rapat. Selepas itu kami seperti terdengar ‘panggilan pulau’ sehingga beberapa kali pergi ke Pulau Seratus dan pulau-pulau lain.

Paling kerap, Fazliyaton yang pergi atas statusnya sebagai Pengerusi Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan yang mengadakan beberapa program melibatkan penduduk di kepulauan delta Sungan Kelantan.

Dalam hal ini, tentu sekali Abe Lan menjadi insan penting menjayakan program yang diadakan.

Sudah larut malam..... setakat ini dahulu.   



Tiada ulasan:

Catat Ulasan