Selasa, 30 Ogos 2022

USAH SALAHKAN ORANG LAIN

 
Jangan angkuh dan sombong. Kita tidak selama senang dan hebat. Tiba masa dan ketika kita perlukan pertolongan pihak lain. Jadi berhubung baik dengan sesiapa saja. Usah cari musuh dan menganggap orang lain bodoh. Muhasabah diri sendiri dan jangan suka cari salah pihak lain.

Itulah adab kita hidup di dunia. Tiada siapa yang sempurna dan hebat sehingga tidak memerlukan kehadiran orang lain. Usah kita menyalahkan kepada orang lain yang menimpa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang yang beriman harus bertawakal". (Surah at-Taubah, ayat 51).  

Dan sesungguhnya Allah menetapkan sesuatu berdasarkan apa yang dilakukan oleh manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah nampak kerosakan didarat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (Surah ar-Rum, ayat 41).  

Manusia sentiasa berdepan dengan ancaman musibah.  Kita selalu saja mendengar berita tentang musibah (bencana) yang berlaku di serata dunia. Alam seolah-olah begitu murka dengan keserakahan umat manusia yang dengan rakus mengeksploitasinya tanpa henti.

Musibah tanda peringatan agar kita tidak rasa hebat dan hanya tahu menyalahkan pihak lain, sedangkan diri sendiri sentiasa melakukan perbuatan menyalahi peraturan alam. Apapun punca musibah, kita perlu menolong mangsa dengan seikhlas hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang-siapa melepaskan kesusahan seorang muslim dari kesusahan dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat; barang siapa memudahkan seorang yang mendapat kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat; dan barang siapa menutupi (aib) seorang muslim, Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat; dan Allah selalu akan menolong hambanya selama ia menolong saudaranya." (Hadis riwayat Muslim).  

Sesungguhnya, bencana menjadi teguran bagi mereka yang selamat, demikian pula bagi mereka yang berada jauh dari tempat kejadian. Orang-orang yang tidak terkena bencana, mendapatkan cubaan dari kesan bencana. Mereka yang selamat (senang) berkewajipan menolong yang kepayahan. Mereka yang hidup berkewajipan menyelenggara-kan jenazah bagi yang meninggal.  

Mereka yang masih memiliki banyak harta, berkewajipan memberi makanan dan pakaian serta menolong dengan segenap kemampuan kepada mereka yang kehilangan segalanya.

Ketika bencana bukan masa sesuai untuk menunding jari siapa yang bersalah. Hulurkan bantuan segera sehingga semua kembali sediakala. Selepas itu baru fikir untuk perbaiki agar perbuatan itu tidak berulang.

Jika kita tidak insaf dan masih meneruskan perbuatan ditegah biarpun telah diberi peringatan, maka tunggulah balasan dari Allah yang lebih besar.

Sedarlah bahawa selalu ada hikmah di balik setiap kejadian yang tampak mengerikan.  Sesungguhnya, bencana merupakan ujian bagi umat Islam.

Jika peraturan hukum alam tidak dipatuhi, maka akan berlaku bencana yang mendatangkan kerugian dan kesusuahan kepada masyarakat yang berada di tempat itu, tidak kira orang beriman atau kafir. Tidak kira sama ada orang itu punca berlaku bencana atau sekadar menjadi mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan